Sijil vaksinasi Covid-19 yang dipercayai palsu yangdirampas polis di Terengganu pada Sabtu lalu. Foto Ghazali Kori
Sijil vaksinasi Covid-19 yang dipercayai palsu yangdirampas polis di Terengganu pada Sabtu lalu. Foto Ghazali Kori
BERNAMA

Kuala Lumpur: Individu yang terbabit dalam pemalsuan sijil vaksinasi Covid-19 perlu dikenakan hukuman maksimum kerana tindakan itu bukan hanya mendatangkan bahaya kepada diri sendiri malah terhadap individu lain yang tidak berdosa, kata Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

Justeru, beliau meminta pihak berkuasa melakukan siasatan terperinci dalam kes berkenaan dan membawa semua yang terbabit ke muka pengadilan.

"Ini sesuatu yang susah saya hendak terima dan maafkan kerana ia menjejaskan keselamatan dan kesihatan orang ramai yang tidak berdosa.

"I want the full force of the law on them and I want to make sure they realise that there a limit when it comes to profit which affects people lives' (Saya mahu penguatkuasaan undang-undang sepenuhnya ke atas mereka dan saya mahu pastikan mereka sedar ada had bila tiba tentang keuntungan yang menjejaskan kehidupan orang ramai," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media khas selepas mempengerusikan Mesyuarat Kuartet Menteri COVID-19 di Wisma Pertahanan di sini, hari ini.

Hishammuddin berkata, hukuman yang berat perlu dikenakan terhadap individu yang menjual dan membeli sijil vaksinasi palsu bagi mencegah kegiatan sedemikian daripada merebak.

Pihak berkuasa juga perlu berada satu langkah di hadapan dalam membanteras kegiatan ini kerana bagi mereka yang inginkan keuntungan mereka akan cuba mencari jalan lain.

Setakat ini, polis hanya mengesan satu kes aktiviti penawaran sijil vaksinasi Covid-19 palsu setakat ini yang membabitkan seorang pengamal perubatan di Marang, Terengganu.

Pada Sabtu lalu, polis menahan seorang doktor sebuah klinik swasta selepas disyaki mengeluarkan sijil suntikan vaksin Covid-19 palsu di Marang, Terengganu.

Lelaki berkenaan direman selama tiga hari bermula Sabtu sehingga hari ini bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana melakukan penipuan dan perintah reman suspek berkenaan disambung selama dua hari lagi sehingga esok.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 January 2022 @ 8:25 PM