Datuk Shamsubahrin Ismail
Datuk Shamsubahrin Ismail
Oleh Farah Marshita Abdul Patah


Kuala Lumpur: Ahli perniagaan Datuk Shamsubahrin Ismail didenda RM3,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini, atas tuduhan membuat kenyataan menyebabkan ketakutan berhubung pengambilan pelarian Rohingya untuk sektor perladangan.

Hakim M M Edwin Paramjothy menjatuhkan hukuman itu terhadap Shamsubahrin, 56, selepas tertuduh mengekalkan pengakuan bersalah, hari ini.

Mahkamah turut memerintahkan tertuduh menjalani tambahan hukuman penjara enam bulan sekiranya gagal membayar denda.

Tertuduh kemudian membayar denda itu.

Pada prosiding itu, Shamsubahrin mengaku membuat kenyataan itu selepas rakaman video berdurasi 51 saat dimainkan semula di mahkamah.

Berdasarkan kertas pertuduhan, Shamsubahrin didakwa secara secara sedar membuat kenyataan dengan niat hendak menyebabkan kegentaran kepada orang awam pada 30 April 2020.

Pautan itu kemudian dibaca di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Siber dan Multimedia Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK), Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, jam 12.30 tengahari, pada 4 Mei 2020.

Pengasas Perkhidmatan Premium Big Blue Taxi itu didakwa mengikut Seksyen 505 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya.

Terdahulu, tertuduh yang tidak diwakili peguam dalam rayuannya memohon dikenakan denda minimum dengan alasan menghidap kanser dan pernah dijangkiti Covid-19.

"Saya hanya mewakili B40 kerana ramai pemandu teksi adalah B40, mereka hanya bergantung pada bantuan kerajaan sahaja dan ianya tidak mencukupi," katanya.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Najihah Farhana Che Awang, membantah rayuan itu dan memohon hukuman setimpal dikenakan terhadap tertuduh.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 5 January 2022 @ 4:30 PM