Pengasas Perkhidmatan Premium Big Blue Taxi, Datuk Shamsubahrin Ismail, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas kesalahan menerima suapan wang tunai RM10,000 kononnya bagi menyelesaikan satu kes di Mahkamah Rayuan Putrajaya. FOTO SAIFULLIZAN TAMADI
Pengasas Perkhidmatan Premium Big Blue Taxi, Datuk Shamsubahrin Ismail, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas kesalahan menerima suapan wang tunai RM10,000 kononnya bagi menyelesaikan satu kes di Mahkamah Rayuan Putrajaya. FOTO SAIFULLIZAN TAMADI
Farah Marshita Abdul Patah

Kuala Lumpur: Pengasas Big Blue Taxi Services, Datuk Shamsubahrin Ismail didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas tuduhan menerima rasuah berjumlah RM10,000.

Bagaimanapun, Shamsubahrin, 55, mengaku tidak bersalah dan memohon dibicarakan sebaik pertuduhan terhadapnya dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Rozina Ayub.

Terdahulu, bapa kepada lima anak itu dilihat hadir ke mahkamah dengan berkerusi roda.

Berdasarkan kertas pertuduhan, ahli perniagaan itu didakwa menerima wang tunai RM10,000 daripada akaun Maybank milik Yusfazila Md Yusoff sebagai dorongan untuk menyelesaikan kes Azizan Mohamed Yasin di Mahkamah Rayuan.

Dia dituduh melakukan kesalahan itu di Ambank, Jalan Yap Kwan Seng pada 1.45 tengah hari 4 Mac lalu dan didakwa mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009, yang boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Pegawai Pendakwa SPRM Abd Muntaqim Abdul Aziz menawarkan jaminan RM5,000 dengan seorang penjamin terhadap tertuduh.

Bagaimanapun, tertuduh dalam rayuannya menerusi peguam Muhammad Noor Azfar Muhammad Noor Azmi, memohon jaminan rendah dengan alasan sudah memberikan kerjasama penuh sepanjang siasatan.

"Beliau merupakan penanggung tunggal keluarga dan perniagaannya terjejas teruk akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP)," katanya.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM2,000 dengan seorang penjamin dan pasportnya diserahkan kepada mahkamah sehingga kes selesai.

Mahkamah kemudiannya menetapkan 1 Oktober depan untuk sebutan semula kes.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 Ogos 2021 @ 3:15 PM