BERNAMA

AHLI perniagaan Datuk Shamsubahrin Ismail mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini, atas dua pertuduhan membuat penghantaran jelik dan membuat kenyataan yang boleh mengakibatkan kegentaran awam di laman Facebooknya, berhubung pendakwaan kes melanggar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Tertuduh yang berusia 54 tahun membuat pengakuan tersebut, selepas dua pertuduhan terhadapnya dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Mahyon Talib.

Shamsubahrin didakwa secara sedar memuat naik video dan membuat dan memulakan penghantaran komunikasi jelik sifatnya, dengan niat untuk menganiaya orang lain melalui perkhidmatan aplikasi Facebook menggunakan nama profil 'Shamsubahrin Ismail', pada 8.54 malam, 20 April lalu.

Pautan itu dibaca di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Siber dan Multimedia Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, pada 11 malam, tarikh sama.

Pengasas Perkhidmatan Premium Big Blue Taxi itu dituduh mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak lebih setahun atau kedua-duanya dan hendaklah juga boleh didenda selanjutnya RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan, selepas sabitan.

Bagi pertuduhan kedua, dia didakwa membuat kenyataan sama menerusi akaun Facebook miliknya, yang boleh menyebabkan kegentaran kepada orang awam di sekitar Jalan Ampang pada tarikh dan masa sama, mengikut Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun dengan denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Shamsubahrin Ismail
Shamsubahrin Ismail

Timbalan Pendakwa Raya Syamimi Farhana Muhammad A. Aziz mencadangkan jaminan RM20,000 dengan seorang penjamin bagi pertuduhan pertama dan RM6,000 dengan seorang penjamin bagi pertuduhan kedua serta syarat tambahan tertuduh dilarang membuat apa-apa hantaran di laman sosial sepanjang kes berjalan.

Tertuduh yang diwakili peguam Mohd Haijan Omar merayu jaminan yang rendah, dengan alasan anak guamnya kini menghidapi penyakit kanser tahap empat.

"Tertuduh adalah penanggung tunggal keluarga yang menanggung lima anak termasuk ibu dan ibu mentuanya. Beliau juga adalah seorang aktivis yang memperjuangkan nasib pemandu teksi," katanya.

Mahkamah menetapkan wang jaminan berjumlah RM8,000 dengan seorang penjamin bagi pertuduhan pertama dan RM6,000 dengan seorang penjamin bagi pertuduhan kedua, serta syarat tambahan tertuduh tidak boleh membuat hantaran lain di laman sosial, sehingga kes selesai.

Mahkamah menetapkan 10 Jun untuk sebutan semula kes.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 Mei 2020 @ 1:38 PM