Gambar hiasan.
Gambar hiasan.
BERNAMA

Kuala Lumpur: Seorang aktivis didenda RM1,900 oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini kerana membuat dan memulakan penghantaran jelik melalui video mengaitkan kemasukan pendatang asing dan kegiatan jenayah di Pasar Borong Selayang, dua tahun lalu.

Hakim MM Edwin Paramjothy menjatuhkan hukuman itu ke atas Mustapa Mansor Amer Mohd Isa, 60, selaku Orang Kena Saman (OKS) selepas dia mengaku bersalah atas pertuduhan itu dan memerintahkan OKS menjalani hukuman penjara enam bulan, jika dia gagal membayar denda.

Mengikut pertuduhan pindaan, Mustapa Mansor Amer didakwa membuat dan memulakan penghantaran komunikasi jelik sifatnya dengan niat untuk menyakiti hati orang lain menerusi satu video bertajuk "Isu Semasa: Siapakah Pengkhianat Negara Kita? (Siri 18)" di aplikasi YouTube menggunakan laman profil 'Mustapa Mansor' pada 26 April 2020.

Pautan itu kemudian dibaca di Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman di sini, pada 2.30 petang, 2 Mei 2020.

Dia dituduh mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 233 (3) akta sama yang membawa hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara maksimum setahun atau kedua-duanya dan boleh juga didenda selanjutnya RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan, selepas sabitan.

Timbalan Pendakwa Raya Najihah Farhana Che Awang memohon hukuman setimpal terhadap OKS, namun peguam C Jadadish memohon hukuman penjara tidak dikenakan terhadap anak guamnya sebaliknya memohon hukuman denda tidak lebih RM2,000 dengan alasan video yang dimuat naik membabitkan isu rakyat.

"Anak guam saya merupakan bapa kepada lapan anak berusia antara 19 hingga 36 tahun dan ini kesalahan kali pertamanya. Anak guam saya juga berjanji tidak akan mengulangi kesalahan sama dan akan lebih berhati-hati dalam membuat sesuatu video pada masa hadapan," kata Jadadish.

Berdasarkan fakta kes, video itu dimuat naik oleh OKS menggunakan profil 'Mustapa Mansor' dengan kandungannya mengenai kegiatan jenayah seperti dadah, gengsterisme serta pemerdagangan manusia di Pasar Borong Selayang.

Hasil siasatan mendapati kandungan video itu mengandungi hantaran yang jelik sifatnya dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 January 2022 @ 3:01 PM