Mohamed Farid Noh


Johor Bahru: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Johor menyiasat rantaian bekalan minyak masak paket bersubsidi selepas ia didakwa habis di pasaran sejak dua minggu lalu.

Pengarahnya, Mohd Hairul Anuar Bohro berkata, pemeriksaan sedang dilakukan di semua peringkat sama ada pengeluar atau pengilang, pemborong sehinggalah ke peruncit.

Susulan itu, katanya, KPDNHEP Johor akan mengehadkan pembelian minyak masak paket sekilogram itu bagi setiap pengguna, untuk memastikan bekalannya mencukupi dan tidak dimanipulasi sesetengah pihak.

"Kita sedang memeriksa rantaian bekalan bagi mengenal pasti sama ada wujud sebarang ketirisan di mana-mana peringkat, contohnya jika ada peruncit atau pekedai yang dakwa susah nak dapatkan bekalan, daripada situ kita akan kesan pembekal dan punca masalah.

"Daripada pemeriksaan harian secara rawak, bekalan minyak masak bersubsidi seharusnya tiada masalah di negeri ini dan bekalan sebenarnya mencukupi. Mungkin di sesetengah tempat, pengguna membeli lebih daripada biasa sehingga bekalan baharu tidak sempat tiba di kedai.

"Jadi KPDNHEP akan mengehadkan pembelian kepada setiap pengguna bagi mengelakkan ia dibeli secara berlebihan sehingga pembeli memerlukan tidak berpeluang mendapatkan bekalan di pasaran," katanya kepada NSTP.

Minyak masak paket itu yang dijual pada harga RM2.50 didakwa kehabisan menyebabkan pengguna resah, malah tinjauan di beberapa pasar raya, pasar mini dan kedai serbaneka di Tampoi, Skudai dan Taman Perling di sini, semalam mendapati kebanyakannya peniaga tiada stok kerana mendakwa tidak menerima bekalan daripada pembekal.

Mengulas lanjut, Mohd Hairul Anuar berkata, pengguna masih boleh mendapatkan bekalan minyak masak dalam botol yang banyak di pasaran.

Pihaknya akan mengeluarkan kenyataan selepas meneliti data hasil pemeriksaan rantaian bekalan, petang ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 January 2021 @ 8:25 AM