PEGAWAI penguat kuasa KPDNHEP membuat pemeriksaan terhadap bekalan minyak masak berpaket 1 kg di beberapa premis sekitar kawasan FELDA Palong 4,5 dan 6 Jempol. FOTO Ihsan KPDNHEP Negeri Sembilan
PEGAWAI penguat kuasa KPDNHEP membuat pemeriksaan terhadap bekalan minyak masak berpaket 1 kg di beberapa premis sekitar kawasan FELDA Palong 4,5 dan 6 Jempol. FOTO Ihsan KPDNHEP Negeri Sembilan
Mohd Amin Jalil

Seremban: Sengaja sebar maklumat palsu untuk cetus panik. Itu tindakan segelintir individu yang mendakwa bekalan minyak masak paket bersubsidi satu kilogram (kg) di Felda Palong di sini, kehabisan.

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Negeri Sembilan bagaimanapun menafikan berlaku kekurangan bekalan minyak masak paket bersubsidi itu di kawasan tanah rancangan Felda Palong 4, 5 dan 6 di Jempol, di sini.

Pengarahnya, Ain Arjuna Aziz Zaman berkata, anggota penguat kuasa KPDNHEP CawanganKuala Pilah sudah menjalankan pemeriksaan di empat premis runcit di kawasan itu semalam.

"Hasil pemeriksaan mendapati bekalan minyak masak paket 1 kg dipamer di rak jualan dan mencukupi untuk menampung keperluan pengguna di kawasan berkenaan.

"Premis itu memperolehi bekalan minyak masak daripada pembekal dengan kekerapan satu kali setiap bulan. Premis itu juga diingatkan untuk memastikan had pembelian minyak masak berkenaan sebanyak tiga unit per transaksi untuk setiap pelanggan.

"Ini bertujuan memastikan lebih ramai pengguna di kawasan berkenaan berpeluang membeli bekalan minyak masak berkenaan," katanya tadi.

Sebelum ini, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Palong, Mustapha Nagoor menerima laporan daripada penduduk kawasan itu berhubung kesukaran mereka mendapatkan minyak masak paket 1kg.

Ain Arjuna berkata, pihaknya sentiasa menjalankan pemeriksaan secara harian bagi memantau bekalan bekalan minyak masak terutamanya minyak masak paket satu kg.

Beliau berkata, pemeriksaan harian itu dibuat di setiap peringkat rantaian bekalan merangkumi pengilang, pemborong dan peruncit.

Menurutnya, dalam tempoh sejak awal tahun ini hingga semalam, KPDNHEP Negeri Sembilan sudah menjalankan sebanyak 7,980 pemeriksaan premis.

"Ia meliputi 6,594 premis di kawasan bandar dan 1,386 di luar bandar. Pengguna boleh menyalurkan maklumat atau aduan berkaitan peniaga yang tidak mematuhi undang-undang kepada pihak kementerian melalui portal e-aduan.kpdnhep (https://eaduan.kpdnhep.gov.my) atau talian bebas tol 1 800 886 800, emel [email protected] dan hubungi Pusat Arahan Penguatkuasaan di talian 03-8882 6088/6245) serta Whatsapp 019 279 4317," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 Februari 2021 @ 3:27 PM