SHARKAR (dua dari kanan) mendengar pengalaman pelancong, Alix Mouret dari Perancis tentang keretanya  yang dihanyutkan  sungai Tembeling. FOTO ROSELAN MALEK
SHARKAR (dua dari kanan) mendengar pengalaman pelancong, Alix Mouret dari Perancis tentang keretanya yang dihanyutkan sungai Tembeling. FOTO ROSELAN MALEK
Roselan Ab Malek


KERAJAAN negeri Pahang akan bekerjasama dengan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) untuk memasang siren amaran di beberapa lokasi di sepanjang Sungai Tahan bagi memberi amaran kepada penduduk kampung dan pelancong di Taman Negara.

Exco Pelancongan, Alam Sekitar dan Perladangan negeri, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin berkata, langkah itu dapat memastikan penduduk dan pelancong bersiap sedia jika berlaku kejadian 'kepala air' di sungai itu.

Beliau berkata, hujan lebat di ulu sungai Tahan menyebabkan berlaku 'kepala air' dan mengakibatkan air sungai Tembeling naik mendadak sehingga enam kenderaan diparkir di tebing sungai itu tenggelam dan hampir dihanyutkan arus, pagi semalam.

"Kejadian 'kepala air' banyak kali berlaku di sungai Tahan terutama apabila hujan lebat di kawasan ulu sungai dan biasanya berlaku di musim tengkujuh.

"Pada musim tengkujuh, biasanya penduduk dan pelancong tidak berani meletakkan kenderaan di pinggir sungai Tembeling kerana bimbang air naik mendadak.

"Namun kejadian semalam tidak disangka kerana di sekitar Kuala Tahan tidak hujan dan air sungai Tembeling berada pada paras normal," katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengulas kejadian lima kereta pelancong di Taman Negara dan sebuah kereta penduduk tempatan yang ditenggelami air sungai Tembeling, semalam.

Mohd Sharkar berkata, sebenarnya lokasi pelancong itu meletak kenderaan bukanlah kawasan parkir dan papan tanda larangan serta amaran sudah diletakkan di situ.

Beliau berkata, kawasan parkir luas dan selamat disediakan, tetapi agak jauh sikit dari jeti Taman Negara itu menyebabkan ada pelancong mengambil jalan mudah.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tahan, Mohd Zakhwan Ahmad Badarddin berkata, penduduk kampung mengambil tindakan wajar menyelamatkan kereta pelancong terbabit.

"Kami turut menguruskan penghantaran pelancong itu yang ingin pulang ke Kuala Lumpur dengan menggunakan van Majlis Daerah Jerantut (MDJ).

"Pelancong terbabit yang pada mulanya cemas dengan kejadian itu akhirnya tenang dengan kerjasama penduduk kampung," katanya.

Berita berkaitan

SUV baru dibeli seminggu ditenggelami air sungai

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 Julai 2020 @ 4:06 PM