Mohd Jakari (kiri) bersama keluarga terpaksa berpindah ke Dewan Kesedar Sungai Satan berikutan kawasan kediaman dinaiki air. FOTO Bernama
Mohd Jakari (kiri) bersama keluarga terpaksa berpindah ke Dewan Kesedar Sungai Satan berikutan kawasan kediaman dinaiki air. FOTO Bernama
BERNAMA

Jeli: Pasangan suami isteri bersama empat anak terpaksa meredah air banjir pada paras hampir dua meter untuk menyelamatkan diri selepas kediaman mereka di Kampung Sungai Satan di sini dinaiki air, pagi semalam.

Mohd Jakari Suaman, 30, berkata, dia bersama isteri Noor Mazilah Che Abdullah, 30-an, mendukung empat anak mereka berusia dua bulan hingga 10 tahun dari rumah ke tempat lebih tinggi kira-kira 9 pagi, selepas mendapati paras air naik secara mendadak.

"Malah ketika kejadian itu, air di ruang dapur sudah naik separas paha, kami bimbang hujan berterusan akan menyebabkan air terus naik, apatah lagi kami mempunyai anak kecil termasuk seorang bayi lelaki berusia dua bulan.

"Kami segera buat keputusan untuk berpindah, dalam proses itu saya dan isteri masing-masing mendukung anak meredah banjir sejauh 200 meter ke tempat lebih tinggi.

"Selepas itu saya meminta bantuan rakan untuk menghantar kami ke pusat pemindahan sementara (PPS) Dewan Kesedar Sungai Satan ini," katanya ketika ditemui Bernama hari ini.

Bercerita lanjut, Mohd Jakari yang bekerja sebagai buruh binaan berkata, dia dan isteri bersyukur kerana sudah membuat persiapan awal dengan mengemas barang serta menyimpan dokumen penting sejak awal musim tengkujuh.

"Setiap tahun kami akan berpindah ke PPS Dewan Kesedar Sungai Satan, namun kali ini saya lebih risau kerana mempunyai anak kecil berusia dua bulan dan kebiasaannya kami akan tinggal di sini selama dua atau tiga hari sebelum paras air turun.

"Alhamdulillah, kami selesa di sini, malah kakitangan agensi terbabit dengan pengurusan banjir banyak membantu kami sekeluarga serta mangsa lain," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 31 Disember 2021 @ 3:33 PM