MUSTAPA (kiri) hadir menyantuni mangsa banjir di PPS di Dewan Kesedar Sungai Satan. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
MUSTAPA (kiri) hadir menyantuni mangsa banjir di PPS di Dewan Kesedar Sungai Satan. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
Siti Rohana Idris


Jeli: "Banjir kali ini sangat menguji saya apabila seorang diri mengangkat beg dan memangku bayi serta memimpin seorang lagi anak yang masih kecil untuk berpindah ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS)," kata mangsa banjir, Siti Nor Afidah Anuar.

Siti Nor Afidah, 36, yang baru dua bulan kematian suami, Mohd Zairulhisyam Mohd Zahari, 36, kerana bengkak usus terpaksa mendukung bayi lelakinya, Muhammad Amar Farhan Mohd Zairulhisyam yang berusia 35 hari apabila air semakin meningkat dan memasuki rumah.

Dia yang berlindung di PPS Dewan Kesedar Sungai Satan, di sini bersama ibu serta seorang lagi anak berusia enam tahun berkata, walau berdepan kesukaran, dia terpaksa berpindah kerana risau paras air akan semakin meningkat.

"Air mula masuk ke dalam rumah pada jam 7 pagi semalam dan ia semakin melimpah masuk menyebabkan kami segera berkemas dan tanpa teragak-agak saya dan ibu mengambil keputusan untuk berpindah ke PPS.

"Dengan memangku bayi dan memimpin seorang lagi anak, Nur Auni Mardhiah Mohd Zairulhisyam, 6, saya meredah air sebelum dijemput adik untuk dibawa ke PPS.

"Nasib baik dua lagi anak saya yang berumur sembilan dan 12 tahun berada di rumah mentua di Kuala Krai dan sedikit memudahkan urusan kami untuk berpindah," katanya ketika ditemui di sini, malam tadi.

Dia berkata, ujian berdepan dengan banjir sudah biasa dihadapi mereka sekeluarga tapi situasi kali ini agak menyedihkannya kerana perlu menanggung kesukaran itu sendirian tanpa suami di sisi.

Dia yang tidak bekerja dan hanya membantu ibunya, Che Saloma Mamat, 57, membuat kerepek berkata, lazimnya mereka yang terjejas banjir di kampung itu akan kembali pulang ke rumah selepas dua atau tiga hari berlindung di PPS kerana air mulai surut.

"Bagaimanapun kerja mencuci rumah agak memenatkan kerana lumpur yang ditinggalkan juga dalam dan kelengkapan rumah juga pasti ada yang rosak," katanya.

Siti Nor Afidah antara 291 mangsa yang berpindah ke PPS itu yang membabitkan 60 keluarga yang kesemuanya adalah penduduk dari Kampung Sungai Satan.

Terdahulu, mereka menerima kunjungan Ahli Parlimen Jeli Jeli, Datuk Seri Mustapa Mohamed yang meluangkan masa bertanya khabar mangsa serta petugas di PPS itu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 31 Disember 2021 @ 11:13 AM