GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Abnor Hamizam Abd Manap

Kuala Pilah: Seorang buruh dijatuhi hukuman penjara 10 bulan oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, selepas mengaku bersalah memukul kepala rakannya dengan tukul besi sehingga parah.

Hakim Norma Ismail turut menjatuhkan hukuman denda RM5,000 ke atas Muhammad Aizat Amran, 21 dari FELDA Palong yang membuat pengakuan itu sebaik pertuduhan dibaca oleh jurubahasa.

Dia turut berdepan hukuman penjara selama enam bulan sekiranya gagal membayar denda.

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh dengan sengaja menyebabkan cedera parah ke atas Anuar Riduan, 36 dengan menggunakan sebatang tukul besi.

Perbuatan itu dilakukan tertuduh pada 1.40 petang di tepi jalan hadapan sebuah rumah di FELDA Palong, 21 Disember lalu.

Justeru, tertuduh melakukan kesalahan yang boleh dihukum mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan.

Berdasarkan fakta kes, tertuduh memukul rakannya itu selepas lewat memulangkan motosikal yang dipinjam rakannya itu.

Tidak lama kemudian berlaku pertengkaran mulut sebelum dia memukul kepala rakannya itu dengan tukul besi sebanyak satu kali sehingga menyebabkan bahagian kepala sebelah kanan mangsa mengalami keretakan.

Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Amirul Noor Hashimi manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 Disember 2021 @ 3:40 PM