TERTUDUH mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu hari ini atas tuduhan memukul bapanya menggunakan tukul besi. FOTO Zatul Iffah Zolkiply
TERTUDUH mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu hari ini atas tuduhan memukul bapanya menggunakan tukul besi. FOTO Zatul Iffah Zolkiply
Zatul Iffah Zolkiply


Kuala Terengganu: Seorang lelaki mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini atas tuduhan memukul bapanya menggunakan tukul besi hingga menyebabkan warga emas itu cedera di telinga.

Tertuduh, Mohd Affendy Bakar, 35, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Nooriah Osman.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa dengan sengaja menyebabkan cedera ke atas mangsa, Bakar Mat, 68, dengan menggunakan tukul besi di sebuah rumah di Manir, di sini, jam 2 pagi pada 19 Julai lalu.

Tertuduh yang didakwa mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan (KK) dan dibaca bersama Seksyen 326A KK (Akta 574) berdepan hukuman penjara sehingga 20 tahun atau denda atau sebatan atau mana-mana dua daripada hukuman itu, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Wan Amira Ruzaini Wan Abdul Razak manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Sejurus pengakuan tidak bersalah tertuduh direkodkan, Nooriah menetapkan 30 Ogos depan sebagai tarikh sebutan semula kes dan membenarkan tertuduh diikat jamin RM7,000 dengan seorang penjamin.

Tertuduh turut dikenakan syarat tambahan iaitu perlu melaporkan diri di balai polis berhampiran setiap bulan serta tidak boleh mengganggu mangsa dan saksi pendakwaan sepanjang prosiding berkenaan.

Dalam kejadian itu, tertuduh dikatakan meminta sejumlah wang daripada mangsa dan mula mengamuk apabila permintaannya tidak diendahkan.

Tertuduh kemudian mengambil tukul besi sebelum menyerang warga emas itu menggunakan senjata berkenaan menyebabkan mangsa cedera di telinga.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 26 Julai 2021 @ 5:37 PM