Lembu yang cuba dibawa seludup oleh sekumpulan lelaki berjaya digagalkan anggota PGA7 dalam kejadian di berhampiran pangkalan haram Jeram Perdah, di sini, jam 4 pagi tadi. FOTO IHSAN PGA7
Lembu yang cuba dibawa seludup oleh sekumpulan lelaki berjaya digagalkan anggota PGA7 dalam kejadian di berhampiran pangkalan haram Jeram Perdah, di sini, jam 4 pagi tadi. FOTO IHSAN PGA7
Syaherah Mustafa


Pasir Mas: Tindakan berani sekumpulan lelaki mengheret lembu menggunakan perahu merentasi Sungai Golok menjelang waktu sahur dikesan anggota Batalion 7 Pasukan Gerakan Am (PGA7) berhampiran pangkalan haram Jeram Perdah, di sini, hari ini.

Pegawai Pemerintah PGA7, Superintendan Azhari Nusi berkata, dalam kejadian 4 pagi itu, anggota bertugas terserempak kumpulan lelaki berkenaan yang melakukan kerja dalam gelap bagi mengaburi mata pihak berkuasa.

Katanya, anggota menghampiri semua suspek dan memberi amaran, tetapi mereka melarikan diri ke dalam semak dan meninggalkan semua ternakan.

"Anggota kami cuba mengesan kumpulan lelaki terbabit, namun gagal. Hasil pemeriksaan lanjut, terdapat empat ekor lembu jantan pelbagai warna bernilai RM25,200 yang dipercayai diseludup dari Thailand.

"Anggota bertugas turut menunggu selama 30 minit di lokasi, namun tiada yang datang menuntut sebelum terus merampas semua ternakan untuk dibawa ke Balai Polis Jeram Perdah bagi siasatan dan tindakan lanjut.

"Lembu itu kemudian diserahkan kepada Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) untuk tindakan lanjut," katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Azhari berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 11(1) Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011.

Beliau berkata, pemeriksaan lanjut mendapati ternakan itu untuk pasaran tempatan selain penyeludup menggunakan strategi menyeludup lembu di awal pagi sebelum sahur kerana beranggapan tiada kawalan daripada pihak berkuasa.

"PGA7 tidak pernah lalai, malah mengetatkan kawalan 24 jam terutama di sekitar pangkalan haram dan lorong tikus.

"Kami tidak menjadikan bulan Ramadan sebagai penghalang untuk terus memberi komitmen terbaik dalam membanteras jenayah rentas sempadan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 April 2021 @ 8:26 PM