Lori dan produk makanan yang ditahan PGA selepas pemeriksaan di Jalan Rantau Panjang-Pasir Mas di sini, malam kelmarin. Foto Ihsan PGA
Lori dan produk makanan yang ditahan PGA selepas pemeriksaan di Jalan Rantau Panjang-Pasir Mas di sini, malam kelmarin. Foto Ihsan PGA
Syaherah Mustafa

Rantau Panjang: Mi segera dan sos bernilai RM14,148 yang dibawa masuk dari negara jiran dirampas Pasukan Gerakan Am (PGA) selepas memeriksa sebuah lori di Jalan Rantau Panjang-Pasir Mas di sini, malam kelmarin.

Pegawai Pemerintah Batalion 7 PGA Superintendan Azhari Nusi berkata, anggota bertugas sebelum itu menahan sebuah lori yang dalam keadaan mencurigakan di lokasi itu.

Menurutnya, anggota PGA kemudiaannya meminta pemandu yang juga lelaki warga tempatan mengemukakan kad pengenalan dan melakukan pemeriksaan tubuh terhadapnya tetapi tidak menemui sebarang barangan salah.

"Bagaimanapun, pemeriksaan pada belakang lori ditemukan beberapa kotak dengan tulisan Thailand dipercayai mengandungi barangan produk makanan seperti mi segera dan sos.

"Anggota PGA kemudiannya meminta invois produk makanan yang dibawa itu tetapi gagal dikemukakan oleh pemandunya.

"Pemandu lori itu terpaksa ditahan dan produk makanan terbabit dirampas serta dibawa ke Balai Polis Rantau Panjang untuk tindakan selanjutnya.

"Barangan yang dirampas kemudiaanya diserahkan kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk disiasat mengikut Seksyen 4 (1) Akta Makanan 1983," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Azhari berkata, kesemua produk makanan itu disyaki diseludup dari negara jiran melalui pangkalan haram di sepanjang Sungai Golok untuk pasaran tempatan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 16 Oktober 2021 @ 12:28 PM