KENDERAN yang dibawa lelaki tempatan untuk membawa lima Pati. FOTO IHSAN PGA7
KENDERAN yang dibawa lelaki tempatan untuk membawa lima Pati. FOTO IHSAN PGA7
Syaherah Mustafa


Kota Bharu: Seorang tekong dan lima pendatang asing tanpa izin (Pati) ditahan anggota Batalion 7 Pasukan Gerakan Am (PGA7) selepas dikejar sejauh 17 kilometer (km) di Lebuhraya Pasir Mas-Kota Bharu, Salor, dekat sini, malam tadi.

Pegawai Pemerintah PGA7, Superintendan Azhari Nusi berkata, ketika kejadian pada 11.45 malam itu, anggota bertugas membuat rondaan di sekitar kawasan Pengkalan Haram Jitong, Pasir Mas, sebelum ternampak beberapa individu lelaki dan perempuan menyeberangi Sungai Golok dari Thailand ke tebing sempadan negara.

Beliau berkata, mereka kemudian menaiki kenderaan Mitsubishi Pajero berwarna perak dipandu seorang lelaki yang sedia menunggu sebelum menuju ke bandar Rantau Panjang.

"Bagaimanapun, sebaik menyedari kehadiran anggota kami, pemandu kenderaan itu memecut laju menghala ke Kota Bharu dan dikejar sejauh 17km sebelum suspek memberhentikan kenderaan.

"Kami memeriksa kenderaan itu dan mendapati ia dinaiki dua lelaki termasuk pemandu berasal dari Kuala Krai dan empat wanita dipercayai warga Thailand.

"Anggota kemudian meminta kad pengenalan diri dan pasport perjalanan, namun semua lima penumpang berusia 19 hingga 48 tahun mengemukakan dokumen meragukan," katanya.

Azhari berkata, pihaknya merampas kenderaan itu dan menahan pemandu serta lima Pati itu untuk dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Mas untuk siasatan dan tindakan lanjut.

"Siasatan awal mendapati, pemandu diarahkan seseorang yang berada di Kota Bharu untuk mengambil warga Thailand di pangkalan haram dan dibawa ke Kota Bharu.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 26(A) Akta Antipermerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) dan Seksyen 6(3) Akta Imigresen 1959/63.

"PGA7 terus mempergiatkan serbuan dan rondaan bagi memastikan kes penyeludupan Pati di sempadan Malaysia-Thailand dapat dibanteras sebaiknya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 19 September 2020 @ 3:18 PM