Jambatan Bailey. FOTO HIASAN
Jambatan Bailey. FOTO HIASAN
Noorazura Abdul Rahman


Alor Setar: Kerajaan akan memasang jambatan sementara jenis Bailey bagi menggantikan jambatan runtuh di Kampung Setol yang dilanda bencana kepala air pada 18 Ogos lalu.

Ahli Parlimen Jerai, Sabri Azit berkata, pemasangan jambatan itu adalah langkah segera menggunakan peruntukan Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) sementara menunggu pembinaan jambatan kekal daripada Kerajaan Persekutuan.

Katanya, peruntukan banjir berjumlah RM75 juta yang diumum Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada 23 Ogos lalu, kini dalam proses disalurkan kepada kementerian berkaitan sebelum dapat digunakan agensi.

"Sebahagian peruntukan itu akan diguna bagi membina jambatan di kampung berkenaan serta membina empangan sabo di kaki Gunung Jerai bagi mengurangkan aliran arus deras ke penempatan.

"Untuk pelan jangka pendek, Jambatan Bailey akan dipasang terlebih dahulu dan apabila jambatan baharu siap, kita akan alih jambatan itu ke tempat lain yang memerlukan," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Sebelum ini, Kerajaan Persekutuan mengumumkan peruntukan RM75 juta bagi melaksanakan kerja pemulihan Yan dan Kuala Muda yang terjejas akibat bencana kepala air, namun sehingga kini terdapat kerja pembaikan infrastruktur belum dapat dimulakan.

Peruntukan itu adalah termasuk bagi menaik taraf sistem saliran, pembinaan dua jambatan baharu dan pembaikan infrastruktur awam yang terjejas akibat dihentam balak hanyut serta kepala air.

Mengulas lanjut Sabri berkata, pihaknya memahami kesukaran dialami penduduk selepas jambatan yang menjadi penghubung utama untuk mereka bagi melakukan akitivi harian runtuh.

"Kita maklum penduduk minta pembinaan jambatan baharu dipercepatkan. Dalam isu ini saya memihak kepada penduduk kampung, mereka alami trauma kesan kejadian kepala air dan banjir lumpur yang sudah beberapa kali berlaku.

"Ketika ini mereka terpaksa melalui jalan lebih jauh selepas jambatan itu runtuh, jambatan itu adalah keperluan mereka terutama untuk pelajar ke sekolah serta orang ramai keluar ke pekan Yan," katanya.

Sebelum ini, media melaporkan lebih 500 penduduk di Kampung Setol dan Kampung Pauh di sini meminta kerajaan membaiki segera sebuah jambatan yang runtuh dalam kejadian kepala air pada 18 Ogos lalu.

Jambatan sepanjang lebih 10 meter itu merupakan jalan pintas kepada penduduk termasuk pelajar di kampung berkenaan berulang alik ke pekan Yan dan sekolah.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 November 2021 @ 4:59 PM