JALAN Kuala Klawang - Genting Peras ditutup sejak Disember 2021. FOTO Arkib NSTP
JALAN Kuala Klawang - Genting Peras ditutup sejak Disember 2021. FOTO Arkib NSTP
Abnor Hamizam Abd Manap

Jelebu: Pengguna jalan raya yang terkesan selepas Jalan Kuala Klawang - Genting Peras ditutup sejak Disember 2021 boleh menarik nafas lega apabila jalan berkenaan dijangka dibuka semula awal tahun depan.

Jalan menghubungkan daerah Jelebu dan Hulu Langat, Selangor itu turut menjadi alternatif bagi pengguna jalan raya untuk ke Ampang, Kuala Lumpur.

Bagaimanapun pembukaan jalan itu turut bergantung kepada keadaan baik pulih dan situasi terkini laluan membabitkan negeri Selangor.

Exco Kanan Kerajaan Negeri Sembilan Datuk Seri Jalaluddin Alias berkata ketika ini kerja membaiki jalan negeri itu masih dijalankan.

Katanya terdapat lebih kurang 13 cerun runtuh di sepanjang laluan di daerah Jelebu hingga ke sempadan Hulu Langat, Selangor.

" Kita perlu pastikan semua masalah berkaitan, kerja baik pulih dilakukan dengan sempurna dan dipastikan selamat sebelum dibuka semula untuk kenderaan.

" Kerja baik pulih cerun di dalam kawasan daerah ini akan disiapkan dalam tempoh terdekat dan pada masa sama akan mengadakan perbincangan dengan Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari mengenai laluan berkenaan.

" Jika semuanya diatasi dan disebelah sana pun sudah ok, kita jangkakan laluan itu akan dibuka selewat-lewatnya awal tahun depan," katanya ditemui selepas merasmikan Lawatan Lapangan Ke Kampung Orang Asli Putra sempena Bengkel Pengurusan Vektor Bersepadu Peringkat Antarabangsa di Sekolah Kebangsaan Putra di sini.

Hadir sama Pengarah Kawalan Penyakit, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) Dr Anita Suleiman.

Dalam perkembangan lain, Jalaluddin yang juga Ahli Parlimen Jelebu berkata seramai 328 penduduk daerah Jelebu yang terjejas banjir pada 2021 menerima bantuan daripada kerajaan pusat.

Katanya serama empat penerima menerima bantuan barangan keperluan, 34 menerima bantuan wang ehsan dan 290 menerima bantuan baik pulih rumah.

" Sumbangan itu diharap dapat meringankan beban penerima berikutan mengalami kerosakan dan kehilangan harta benda akibat bencana alam itu,"katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 September 2023 @ 3:15 PM