LOKASI penempatan penduduk yang terjejas akibat banjir kilat di Kajang. FOTO Ihsan pembaca
LOKASI penempatan penduduk yang terjejas akibat banjir kilat di Kajang. FOTO Ihsan pembaca
Ekhwan Haque Fazlul Haque


Kajang: Hujan lebat sejak 4 petang tadi menyebabkan beberapa laluan utama di daerah ini dinaiki air sehingga berlaku banjir kilat.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JPBM) Selangor Norazam Khamis berkata, pihaknya menerima beberapa panggilan kecemasan berhubung kejadian banjir kilat sekitar Kajang.

Menurutnya, antara lokasi terjejas adalah Apartmen Gien Court di Bandar Sungai Long, dan Taman Lembah Mewah.

"Kami menerima panggilan 5.19 petang dan 5.35 petang daripada orang awam memaklumkan kejadian banjir kilat.

"Anggota bomba kemudian bergegas ke lokasi dan membuat pemantauan keadaan semasa," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata, banjir kilat yang berlaku bagaimanapun tidak membabitkan mangsa.

Katanya, selain hujan lebat, faktor menyebabkan banjir kerana saluran longkang tersumbat sehingga aliran air melimpah ke laluan utama.

"Bomba akan sentiasa membuat pemantauan dan dalam keadaan bersedia sekiranya keadaan menjadi lebih serius.

"Orang ramai juga diminta untuk lebih peka dengan keadaan semasa dan memaklumkan kepada pihak berkuasa secepat mungkin," katanya.

Beberapa perkongsian di laman sosial oleh penduduk setempat menunjukkan Jalan Sungai Jelok, Bandar Teknologi Kajang, Kajang 2 serta Jalan Kajang-Semenyih dinaiki air kerana banjir kilat.


Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 Disember 2021 @ 6:40 PM