ANGGOTA Bomba membantu mengangkat mangsa lemas di air terjun. FOTO ihsan Bomba
ANGGOTA Bomba membantu mengangkat mangsa lemas di air terjun. FOTO ihsan Bomba
Zuliaty Zulkiffli


Jitra: Keseronokan lima penuntut universiti awam (UA) mandi di kawasan air terjun Bukit Wang sempena cuti Krismas hari ini berakhir tragedi apabila seorang daripada mereka ditemui lemas hari ini.

Dalam kejadian pagi tadi, mereka dikatakan sedang menunggu makanan tengah hari yang dipesan melalui penghantar makanan ke situ sebelum menyedari seorang rakan mereka tersangkut di celah batu.

Mereka yang cuba menyelamatkan rakan mereka selain cuba memberi bantuan pernafasan gagal sebelum menghubungi pihak bomba.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jitra, Penolong Penguasa Bomba Bustan Karudin berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 12.07 tengah hari.

Beliau berkata, sepasukan anggotanya dari BBP Jitra yang diketuai Adnan Ahmad tiba di lokasi tidak lama kemudian.

"Anggota kami kemudian membantu mengangkat mangsa lemas di air terjun itu dengan bantuan pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

"Mangsa diangkat menggunakan pengusung dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut," katanya ketika dihubungi hari ini.

Bustan berkata, jasad mangsa berusia 21 tahun itu kemudian dihantar ke hospital untuk tindakan lanjut.

Difahamkan, kawasan rekreasi air terjun Bukit Wang masih ditutup sepenuhnya kepada pengunjung selepas kejadian kepala air yang berlaku bulan lalu menyebabkan banjir kilat di sekitar kawasan daerah ini.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 Disember 2021 @ 5:09 PM