Zuliaty Zulkiffli


Jitra: Lelaki berusia 40 tahun yang terjatuh ke dalam Sungai Korok, di sini, semalam ditemui lemas hari ini.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penguasa Kanan Bomba I Mohamadul Ehsan Mohd Zain berkata, mayat mangsa ditemui jam 7.59 pagi di Kampung Budi, dekat sini.

Mayat itu ditemui anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jitra yang diketuai Penolong Kanan Penguasa Bomba Bustan Karudin yang melakukan pencarian di permukaan air di sekitar kawasan pencarian.

"Mangsa ditemui terapung dan dihanyutkan kira-kira lima kilometer dari tempat mangsa dilaporkan terjatuh.

"Setakat ini, identiti mangsa belum dikenal pasti dan mayatnya diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mohamadul Ehsan berkata, operasi disertai 14 anggota termasuk enam anggota Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) dari BBP Jitra.

Beliau berkata, operasi mencari dan mengesan (SAR) mangsa tamat sepenuhnya jam 9 pagi selepas mayatnya ditemui tidak sampai 24 jam.

Harian Metro semalam melaporkan, seorang lelaki berusia 40 tahun dikhuatiri lemas dipercayai terjatuh ke dalam Sungai Korok, di sini.

Berikutan itu, anggota BBP Jitra melakukan pencarian di lokasi terbabit selepas menerima panggilan kecemasan jam 1.36 tengah hari.

BOMBA membantu mengangkat mayat mangsa. FOTO Ihsan Bomba
BOMBA membantu mengangkat mayat mangsa. FOTO Ihsan Bomba

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 25 Oktober 2020 @ 10:07 AM