SUKARELAWAN membersihkan rumah mangsa banjir di Hulu Langat. FOTO Ihsan NGO Barracuda Adventure Team.
SUKARELAWAN membersihkan rumah mangsa banjir di Hulu Langat. FOTO Ihsan NGO Barracuda Adventure Team.
Mahaizura Abd Malik


Kuala Lumpur: "Saya sendiri tak dapat tahan menahan air mata melihat keadaan dua beranak itu yang tinggal sehelai sepinggang.

"Musnah habis… tiada langsung pakaian bersih boleh dipakai, tiada makanan yang boleh dimakan," kata Penaung dan Pengasas Barracuda Adventure Team, Mohd Fadhil Hazmi bercerita pengalamannya membantu mangsa banjir, baru-baru ini.

Menurutnya, pasukannya turun padang dari Kuala Krai, Kelantan, minggu lalu untuk membantu mangsa banjir di Selangor membersihkan kediaman serta menyampaikan sumbangan.

Katanya, ketika di Hulu Langat, Selangor pada 24 Disember lalu, mereka sempat menyantuni dua beranak yang keadaannya sangat menyedihkan selepas kediaman mereka yang berdekatan sungai terjejas teruk.

"Warga emas wanita berusia 60-an tinggal bersama anak lelakinya yang terlantar. Apa yang dia ada mungkin tak seperti orang lain, cuma keperluan asas yang sangat minimum dengan televisyen kecil, katil bujang untuk anaknya yang terlantar itu serta motosikal yang sudah ditenggelami air.

"Dengan keadaannya yang hanya berkain batik serta rumah yang tidak terurus, menyebabkannya mungkin tidak berdaya atau malu untuk meminta bantuan luar.

"Namun Tuhan menggerakkan hati kami untuk pergi menjenguk dan bertanya kepadanya sebelum kami sedaya upaya membantu membersihkan rumahnya sehingga selesai," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Mohd Fadhil berkata, pihaknya turut memaklumkan situasi dua beranak itu kepada jiran tetangga serta ahli jawatankuasa surau berhampiran untuk tindakan lanjut.

"Warga emas itu memberitahu dia menjual kuih kecil-kecilan untuk menampung hidup dia dan anaknya serta enggan menyusahkan sesiapa termasuk saudara yang turut terjejas banjir.

"Dia hanya menangis dan tidak berkata apa selepas kami menyampaikan makanan, telekung, pakaian, wang sumbangan serta melihat rumahnya sudah dibersihkan.

"Hati saya turut tersentuh sampai menitiskan air mata kerana jauh di sudut hati, saya terfikir macam mana mereka berdua hendak lalui kehidupan seterusnya selepas ini," katanya.

Mengambil iktibar derita mangsa banjir itu, beliau memohon mana-mana sukarelawan yang turun padang ke kawasan terjejas agar membuat pemeriksaan dari rumah ke rumah dan bertanya khabar agar tiada yang tercicir daripada menerima bantuan.

Dalam pada itu, Mohd Fadhil berkata, pihaknya mengadakan Misi Bantuan Ke Selangor-Kuala Krai Balas Budi 2014 sejak minggu lalu bagi menyampaikan sumbangan makanan keperluan asas dan makanan serta mencuci tempat terjejas seperti rumah ibadat, kediaman dan sekolah sekitar Shah Alam dan Hulu Langat.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 31 Disember 2021 @ 7:05 PM