NORLIZA   (dua dari kiri) menyerahkan bantuan tambahan berupa keperluan asas seperti toto ke PPS di Kapar, Selangor.
NORLIZA (dua dari kiri) menyerahkan bantuan tambahan berupa keperluan asas seperti toto ke PPS di Kapar, Selangor.

UDA Holdings Bhd (UDA) menyalurkan sumbangan tambahan berjumlah RM85,000 berupa barangan keperluan asas seperti toto dan makanan untuk komuniti terkesan banjir di seluruh Malaysia.

Pengerusi UDA, Datuk Norliza Abdul Rahim berkata, pihaknya mengambil langkah proaktif dengan menggerakkan bantuan ke beberapa buah pusat pemindahan sementara (PPS) di Selangor iaitu Klang, Kuala Selangor, Kapar dan Kota Raja pada 23 Disember lalu.

"Ketika dalam perjalanan menghantar bantuan ke Kuala Selangor, UDA turut berkesempatan menyantuni tiga keluarga iaitu Mazlan Md Isa, Khairiah Kamarudin dan Rahim Kamarudin yang terkandas di Jalan Sepakat, Kampung Parit Mahang, Jeram.

"Sebelum itu, UDA bersama-sama Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (Medac) turut mendekati mangsa banjir di PPS Sekolah Menengah Kebangsaan Abdul Jalil di Hulu Langat bagi memberikan bantuan yang sama," katanya dalam kenyataan.

UDA turut menjelajah ke wilayah perniagaannya di Negeri Sembilan dengan menyalurkan sumbangan keperluan seperti toto kepada mangsa bencana banjir di Port Dickson dan Jelebu, pada 24 Disember lalu.

Ia juga menyerahkan bakul makanan di wilayah timur iaitu di Kuala Terengganu.

Sebanyak 500 toto juga bakal diedarkan kepada mangsa banjir di sekitar Pahang dalam masa terdekat.

UDA sudah menyalurkan bantuan bernilai RM50,000 pada hujung minggu lalu, menjadikan jumlah sumbangan terkumpul setakat ini ialah RM135,000.

Bersama anak syarikatnya AnCasa Hotels & Resorts, UDA memulakan misi bantuan banjir pada hari Ahad minggu lalu dengan menyumbangkan 1,000 pek makanan ke PPS Sekolah Kebangsaan Sungai Serai serta 600 bakul makanan ke beberapa PPS di Seremban, Dengkil, Shah Alam, Gombak dan Kuala Langat.

Selain itu, UDA menerusi anak syarikatnya, UDA Dayaurus Sdn Bhd turut membersihkan rumah yang terjejas akibat banjir di sekitar kawasan Kuala Langat.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 Disember 2021 @ 7:20 AM