EZAD terkilan mengenangkan koleksi barang-barang peribadinya musnah namun akur dengan apa yang berlaku.
EZAD terkilan mengenangkan koleksi barang-barang peribadinya musnah namun akur dengan apa yang berlaku.
Zaara Talita

PELBAGAI pihak termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO), kumpulan dan individu terus mencurah bakti dengan menghulurkan bantuan dalam usaha meringankan beban ditanggung mangsa akibat bencana banjir yang melanda Selangor, Kuala Lumpur, Pahang, Melaka dan Johor, baru-baru ini.

Tidak terkecuali Yayasan Metamorphosis bersama pasukannya dalam menjalankan Misi Jiwa Prihatin bagi membantu mangsa banjir.

Presiden Yayasan Metamorphosis, Datuk Aliff Zain berkata, dia dan pasukannya agak terlewat menghantar bantuan disebabkan menjalani tempoh kuarantin selepas menjadi kontak rapat pesakit Covid-19.

"Habis saja tempoh kuarantin, saya terus mempersiapkan pasukan untuk turun padang bagi menghulurkan bantuan. Dari segi dana, Yayasan Metamorphosis tidak kutip mana-mana sumbangan, ini hasil pendapatan perniagaan yang disalurkan kepada yayasan ini.

"Kami melawat bekas pelumba negara, Zulfahmi Khairuddin di Banting, Selangor, kemudiannya ke rumah penyanyi Ezad Lazim di Kota Warisan, Sepang. Seterusnya, kami menjengah bekas pemain bola sepak negara, Azman Adnan dan isterinya, As Feminin, Yantzen dan pemain bass kumpulan Damasutra, Amran di sekitar Hulu Langat.

"Sepatutnya, kami singgah ke rumah pelawak, Ebby Yus di Hulu Langat, tetapi saya dimaklumkan beliau dimasukkan ke hospital. Misi Jiwa Prihatin ini turut menghulurkan bantuan kepada individu lain yang menjadi mangsa banjir, bukan hanya golongan selebriti," katanya.

YANTZEN  turut menerima bantuan berbentuk keperluan asas.
YANTZEN turut menerima bantuan berbentuk keperluan asas.

Aliff yang juga usahawan dari Pulau Pinang berkata, secara kasar, Yayasan Metamorphosis memperuntukkan antara RM500,000 hingga RM1 juta bagi Misi Jiwa Prihatin di seluruh negara.

"Bukan hanya menyediakan sumbangan berbentuk wang Ringgit, malah pelbagai barangan rumah seperti mesin basuh, peti ais dan katil. Ini termasuk juga keperluan asas seperti pinggang mangkuk, dapur dan sebagainya.

"Misi Jiwa Prihatin bermula ketika banjir besar di seluruh negara pada 2014. Saya sendiri yang turun padang agak sedih dengan nasib menimpa mangsa. Saya lihat mereka perlu memulakan kehidupan baharu, ada yang sehelai sepinggang, tak kira kaya atau miskin.

"Jadi, dari situ kami meneruskan Misi Jiwa Prihatin tahun demi tahun. Saya berharap lebih ramai rakyat Malaysia menghulurkan sumbangan membantu mangsa banjir bukan hanya kejadian tahun ini, tetapi juga pada masa akan datang," katanya.

Aliff berkata, dia juga mengalu-alukan sukarelawan menyertai Yayasan Metamorphosis dan mereka boleh menghubungi menerusi Facebook Yayasan Metamorphosis.

"Hari ini Yayasan Metamorphosis bekerjasama dengan penghantar makanan. Bukan saja bangsa Melayu, malah Cina dan India turut berganding bahu membantu mangsa banjir," katanya.

Dalam pada itu, anggota kumpulan Feminin, As berbesar hati dengan sumbangan yang dihulurkan sekali gus meringankan beban dia sekeluarga akibat banjir.

"Terima kasih, semoga Allah membalas jasanya membantu mengurangkan bebanan saya sekeluarga. Saya tak boleh agak anggaran kerugian. Tetapi, apa yang boleh saya cakap kena bermula dari kosong semula. Bukan hanya semua barang elektrik rosak, malah, lantai pun pecah.

"Ia seperti membina rumah baharu. Satu rumah pula kena buat pendawaian semula. Memang saya amat terkesan, namun saya nak ucapkan terima kasih kepada rakyat Malaysia yang sangat prihatin dan tidak berkira.

KETIKA menyantuni bekas pemain bola sepak kebangsaan, Azman Adnan.
KETIKA menyantuni bekas pemain bola sepak kebangsaan, Azman Adnan.

"Bila berlaku bencana ini, barulah saya nampak rakyat Malaysia sangat bersatu dan bermurah hati, tak kira apa bangsa dan agama. Saya memang hormat kepada masyarakat majmuk kita," katanya yang juga isteri kepada bekas pemain bola sepak kebangsaan, Azman Adnan.

Sementara itu, Ezad turut berkongsi pengalaman kali pertama merasai pengalaman berdepan musibah banjir sejak berpindah ke rumah sendiri di Kota Warisan, Sepang.

Ezad berkata, dia terkilan mengenangkan koleksi barang-barang peribadi yang musnah, namun reda dengan apa yang berlaku.

"Banyak barang koleksi peribadi musnah dan rosak. Saya memang suka simpan barang-barang yang ada nilai sentimental. Saya simpan koleksi CD dan VCD original daripada penyanyi yang saya minat. Saya kumpul dari zaman muda.

"Ini termasuklah koleksi gambar saya dengan bekas kumpulan dan alatan muzik seperti gitar. Ada antaranya saya simpan dan tidak pernah guna. Namun, agak sedih alatan muzik artifak arwah bapa tidak boleh diselamatkan," katanya.

"Apa yang penting, nyawa. Alhamdulillah, isteri dan anak-anak berada dengan saya ketika banjir, jadi, tiada apa yang perlu dirisaukan sangat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 15 January 2022 @ 6:25 AM