Izham Hashim
Izham Hashim
BERNAMA

Shah Alam: Proses menyedut air banjir di kawasan yang masih bergenang di negeri ini sudah bermula melalui penggunaan pam air untuk disalurkan ke sungai dan parit besar berdekatan.

EXCO Infrastruktur dan Pertanian negeri Izham Hashim berkata, sejak malam tadi, kerajaan negeri sudah menerima beberapa pam air daripada pihak luar termasuk Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) negeri-negeri lain serta Kerajaan Persekutuan.

"Pam-pam ini kemudian dihantar ke lokasi yang memerlukan seperti Jalan Kebun Bunga dan Batu Tiga serta Taman Sri Muda. Kerja-kerja pengepaman air bermula sejak malam tadi," katanya kepada media di sini, hari ini.

Beliau berkata di Klang sahaja, lebih 50 pam air digunakan bagi tujuan itu.

Selain itu, katanya, daripada kira-kira 900 ke 1,000 pencawang elektrik di Selangor, lebih 400 pencawang masih gagal beroperasi semula akibat banjir setakat semalam, menyebabkan bekalan elektrik terjejas di kawasan berkaitan.

Dalam pada itu, Izham berkata, kerja-kerja pembersihan kini ditumpukan di kawasan pasca banjir, manakala kerja-kerja memindahkan mangsa banjir dilakukan di beberapa tempat yang baru mengalami banjir.

"Beberapa tempat kini sedang dinaiki air. Contoh, Kuala Selangor dan Kuala Langat kerana air mengalir ke hilir sungai, dan penduduk di sana sudah mula dipindahkan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 Disember 2021 @ 2:16 PM