Norzamira Che Noh


Shah Alam: Pelaksanaan kerja naik taraf sistem perparitan di Taman Sungai Kapar Indah, Klang dijangka akan menyelesaikan isu banjir kilat yang membelenggu penduduk kawasan itu.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Infrastruktur & Kemudahan Awam dan Pemodenan Pertanian & Industri Asas Tani, Ir Izham Hashim berkata, kerja naik taraf itu akan dilaksanakan oleh Majlis Perbandaran Klang (MPK).

Katanya, MPK sudah melantik perunding bagi melaksanakan kajian berhubung pelaksanaan itu yang dijadualkan bermula Januari tahun hadapan.

"Kerja-kerja naik taraf sementara di sebahagian kawasan berkenaan sedang giat dilaksanakan buat masa ini sebagai usaha untuk mengurangkan kejadian banjir kilat di kawasan berkenaan," katanya pada Sidang Dewan Negeri Selangor di sini, hari ini.

Izham berkata ketika menjawab pertanyaan Mohd Fakrulrazi Mohd Mokhtar (PH-Meru) berhubung langkah diambil kerajaan negeri bagi mengatasi isu banjir kilat di kawasan berkenaan.

Mengulas lanjut, Izham berkata perunding yang dilantik itu juga akan menjalankan siasatan di tapak terbabit berhubung punca kejadian banjir kilat itu di samping melakukan kerja-kerja pemetaan.

Katanya, pihak berkenaan juga perlu membuat analisis sistem saliran sedia ada dan menyediakan pelan mitigasi menerusi projek dilaksanakan.

Sementara itu, ketika menjawab pertanyaan berhubung usaha kerajaan negeri untuk membendung masalah-masalah yang timbul daripada projek Lebuhraya Pantai Barat (WCE), Izham berkata kerajaan negeri menerusi Jabatan Kerja Raya (JKR) Selangor sudah membelanjakan sejumlah peruntukan untuk membaik pulih jalan rosak akibat kenderaan lebih muatan serta kerja-kerja yang dilakukan pihak kontraktor berdekatan.

Menurutnya, kerajaan negeri melalui Mesyuarat Jawatankuasa Teknikal Pemantauan dan Penyeragaman Batu-Batuan dan Mineral Selangor pada 2020 juga memutuskan supaya pengusaha, pemegang permit bahan batuan dan kontraktor di lokaliti kawasan jalan raya perlu menyelenggara jalan raya yang rosak akibat kenderaan lebih muatan.

"Kita ada tabung khas yang mana kita mewajibkan kontraktor menyumbang kos penyelenggaraan jalan di kawasan projek mereka termasuk projek jalan raya, pemasangan paip, kuari dan lain-lain," katanya ketika menjawab pertanyaan Dr Idris Ahmad (PH-Ijok).

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 November 2021 @ 1:10 PM