Antara kediaman yang terjejas akibat banjir di Kampung Bangi, Bangi. FOTO Azhar Ramli
Antara kediaman yang terjejas akibat banjir di Kampung Bangi, Bangi. FOTO Azhar Ramli
Bisnes HM


Kuala Lumpur: Mangsa banjir yang kembali ke kediaman selepas banjir surut disarankan memeriksa pendawaian di dalam premis masing-masing dengan mendapatkan khidmat kontraktor pendawaian yang berdaftar dengan Suruhanjaya Tenaga (ST).

Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, bekalan tidak boleh disambung begitu sahaja kerana penduduk perlu memastikan keadaan rumah mereka bersedia menerima bekalan elektrik.

"Pendawaian dan peralatan elektrik yang ditenggelami air mungkin terjejas serta perlu dibersihkan dan diperiksa terlebih dahulu bagi mengelakkan kejadian yang tidak diingini.

"Fius atau pemutus litar perlu dibersihkan dari kekotoran dan diganti dengan yang baru jika perlu. Manakala soket alir keluar (outlet) yang telah ditenggelami air perlu berada dalam keadaan kering dan bersih agar selamat digunakan," katanya dalam kenyataan.

Beliau menghargai semua tindakan segera Tenaga Nasional Berhad (TNB) termasuk menyediakan sokongan tenaga kerja serta logistik seperti bot dan kenderaan yang disifatkannya sebagai pengorbanan dan sumbangan kepada negara.

Beliau dimaklumkan warga kerja teknikal TNB termasuk pasukan kerja tambahan dari luar Lembah Klang dan mereka yang menganggotai 70 Rejimen Pakar Janaelektrik Rejimen Askar Jurutera DiRaja (RAJD) sedang bertungkus lumus memulihkan infrastruktur bekalan termasuk membaik pulih kabel rosak, tiang tumbang disebabkan mendapan tanah atau dihanyutkan arus.

Malah, RAJD telah digerakkan lebih awal sebaik banjir melanda untuk bersama-sama agensi penyelamat memindahkan mangsa banjir ke tempat selamat, khususnya ke PPS.

Lawatan Takiyuddin ke Taman Sri Muda, Shah Alam semalam berjalan lancar seperti dirancang untuk meninjau kawasan dilanda banjir dan kerja-kerja TNB menyalurkan tenaga melalui janakuasa bergerak bagi mengepam air keluar daripada kawasan kediaman, memulihkan infrastruktur bekalan yang rosak di samping menyampaikan bantuan kepada mangsa yang terjejas.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Ir Baharin Din (paling kiri) mengadakan lawatan ke lokasi banjir di Hulu Langat, Selangor pada Selasa bagi meninjau kerja-kerja TNB memulihkan infrastruktur bekalan yang turut terkesan akibat banjir.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Ir Baharin Din (paling kiri) mengadakan lawatan ke lokasi banjir di Hulu Langat, Selangor pada Selasa bagi meninjau kerja-kerja TNB memulihkan infrastruktur bekalan yang turut terkesan akibat banjir.

Sementara itu, TNB menggerakkan lebih 2,000 warga kerjanya di seluruh Semenanjung Malaysia dan menyediakan peruntukan kecemasan RM44 juta dalam usaha memulihkan semula bekalan dan membantu mangsa banjir dalam proses pemulihan aset yang terjejas akibat bencana berkenaan.

Selain membantu mangsa banjir termasuk dari segi keperluan asas dan penyaluran bekalan elektrik menggunakan set janakuasa bergerak termasuk di Pusat Pemindahan Sementara (PPS), tindakan utama lain ialah memulihkan pencawang dan aset lain dengan mengujinya untuk memastikan ia selamat untuk menyalurkan bekalan.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Ir Baharin Din berkata, tambahan RM4 juta daripada peruntukan RM44 juta itu adalah bantuan kewangan yang akan diagihkan melalui Tabung Bencana GLC/GLIC Disaster Response Network (GDRN) dan pengagihan oleh Tabung Warga TNB Prihatin.

Beliau yang meninjau keadaan di Hulu Langat, turut mengingatkan orang ramai bahawa bekalan elektrik hanya dapat disambung semula apabila pepasangan TNB termasuk pencawang elektrik dan meter di premis pengguna telah kering dan dipastikan selamat.

"Sehingga hari ini, 419 daripada sejumlah 853 pencawang elektrik yang dihenti tugas sementara di Kelantan, Pahang, Selangor, Melaka, Negeri Sembilan dan Kuala Lumpur telah dapat dipulihkan berikutan air surut di beberapa daerah di negeri-negeri berkenaan.

"Bagaimanapun ada keadaan yang mana banjir telah surut di premis pengguna, namun pencawang elektrik di kawasan itu masih ditenggelami air dan masih dihenti tugas. Keadaan ini tidak membenarkan TNB untuk menyambung semula bekalan ke kawasan itu," katanya.

Menurutnya, faktor keselamatan awam sentiasa menjadi pertimbangan utama dalam usaha pemulihan bekalan.

"Bekalan elektrik di PPS mangsa banjir berada dalam keadaan baik. Sebanyak 232 set janakuasa berada dalam keadaan tunggu sedia untuk digerakkan ke kawasan yang terjejas akibat banjir sekiranya bekalan tidak dapat diberikan melalui sistem grid," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 Disember 2021 @ 2:41 PM