IZHAM Hashim membantu sukarelawan menyediakan makanan untuk mangsa banjir. FOTO Ruwaida Md Zain
IZHAM Hashim membantu sukarelawan menyediakan makanan untuk mangsa banjir. FOTO Ruwaida Md Zain
Ruwaida Md Zain


Shah Alam: Sebanyak 400 pencawang elektrik di negeri ini masih tidak dapat berfungsi susulan bencana banjir.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Infrastruktur, Kemudahan Awam, Pemodenan Pertanian dan Industri Asas Tani negeri Izham Hashim berkata, perkara itu dimaklumkan kepadanya menerusi pertemuan dengan pihak Tenaga Nasional Berhad (TNB) semalam.

"Masalah utama adalah bekalan elektrik. Semalam, melalui perbincangan (TNB memaklumkan), daripada kira-kira 1,000 pencawang elektrik di seluruh Selangor, 400 masih belum dapat dihidupkan kembali.

"Jumlah itu sangat besar, ia memberikan kesan (terputus bekalan elektrik) kepada kawasan perumahan, kilang, pam air sejak beberapa hari lalu.

"Ramai buat aduan sebab semua operasi guna bekalan elektrik termasuk bekalan air, loji banyak tutup sebab bekalan elektrik terganggu, begitu juga talian komunikasi," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada program Dapur Rakyat Untuk Mangsa Banjir di Pejabat Ahli Majlis Zon 3 Shah Alam di Seksyen 7 di sini, hari ini.

Izham berkata, esok, satu mesyuarat akan diadakan bagi memperincikan perkara berkenaan dengan pihak berkaitan.

Sementara itu, katanya, kerajaan negeri kini dalam usaha menggerakkan pelan pasca banjir membabitkan pembersihan rumah dan infrastruktur di kawasan terjejas.

"Tumpuan kita pada kerja fasa kedua iaitu pembersihan, ia bukan kerja mudah terutamanya disebabkan kali ini banjir agak serius.

"Jadi kerajaan negeri akan menyediakan peralatan pam khas untuk membersihkan lokasi banjir yang sudah pulih seperti 'water jet'.

"Pelan berkenaan akan diumumkan secara terperinci oleh Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari petang ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 Disember 2021 @ 5:12 PM