Exco Infrastruktur dan Pertanian Selangor, Izham Hashim ditemui media selepas Belanjawan Selangor 2024 di Dewan Negeri Selangor, Shah Alam. FOTO FAIZ ANUAR
Exco Infrastruktur dan Pertanian Selangor, Izham Hashim ditemui media selepas Belanjawan Selangor 2024 di Dewan Negeri Selangor, Shah Alam. FOTO FAIZ ANUAR
Ruwaida Md Zain


Shah Alam: Kerajaan negeri bersedia mengerakkan 40 pam tambahan di pintu kunci air bagi mempercepatkan aliran air terutama di lokasi berisiko banjir pada musim tengkujuh ini.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Infrastruktur dan Pertanian, Izham Hashim berkata, ia sebagai persediaan untuk mengelakkan kejadian banjir besar berulang kembali.

"Kita sudah ada banyak pam, sekarang kita ada 40 pam tersedia untuk digerakkan di mana-mana lokaliti (banjir).

"Jumlah ini membabitkan 30 pam dari Kumpulan Semesta Sdn. Bhd. dan 10 lagi yang ditempah sebelum ini.

"Selain daripada pam, kena berjaga dengan generator. Kalau ada pam, tiada generator tiada guna.

"Justeru, pihak Tenaga Nasional Berhad (TNB) juga diminta bersedia untuk mengerakkan generator (mobile) mereka bagi pam air yang menggunakan tenaga elektrik ini," katanya kepada media selepas pembentangan Belanjawan 2024, di sini hari ini.

Mengulas mengenai perkembangan di Taman Sri Muda katanya, kerja-kerja menaiktaraf pam air berjalan lancar dan dijangka siap selewat-lewatnya Februari tahun depan.

Jelas beliau, apabila siap nanti akan mempunyai sembilan pam air kesemuanya dengan kapasiti pengepaman 13,000 liter per saat.

"Ini membabitkan keseluruhan kos RM6.8 juta termasuk menaiktaraf parit di lokasi berkenaan.

"Kerajaan Persekutuan juga sudah meluluskan peruntukan RM160 juta bagi pembinaan tembok penghalang banjir khusus di Seksyen 25 (Taman Sri Muda)," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 November 2023 @ 9:32 PM