Keadaan semasa di Taman Sri Muda pagi ini, mendapati air masih belum surut sepenuhnya akibat banjir yang melanda taman perumahan berkenaan pada Sabtu. FOTO BERNAMA
Keadaan semasa di Taman Sri Muda pagi ini, mendapati air masih belum surut sepenuhnya akibat banjir yang melanda taman perumahan berkenaan pada Sabtu. FOTO BERNAMA
Oleh Ruwaida Md Zain


Shah Alam: Aras banjir mencecah 1.5 meter hingga tiga meter membabitkan hampir 95 peratus kawasan Taman Sri Muda di sini, termasuk pintu air, rumah pam serta kolam takungan banjir, menyebabkan sistem infrastruktur serta bekalan elektrik terputus sehingga hari ini.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Infrastruktur, Kemudahan Awam, Pemodenan Pertanian dan Industri Asas Tani negeri Izham Hashim berkata, ketiadaan bekalan elektrik menyebabkan pintu air tidak boleh beroperasi dengan sempurna.

"Perbezaan 'head' yang tinggi yang mana keadaan aras aliran saliran utama Taman Sri Muda masih tinggi, termasuk aras banjir sedia ada, berbanding paras air Sungai Klang memberi tekanan yang tinggi kepada pintu air itu.

"Jika pintu air mempunyai bekalan elektrik, maka ia mudah dibuka dengan sempurna. Namun, ketiadaan bekalan elektrik menyebabkan pintu air perlu dibuka secara manual dengan mengambil keadaan risiko pintu air akan rosak dan gagal berfungsi jika 'shaft' besi kawalan pintu air bengkok atau berpintal," katanya pada kenyataan hari ini.

Oleh itu, kata beliau, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Selangor bertindak meneruskan pengepaman air dari saliran utama sehingga aras yang seimbang bagi mengurangkan tekanan kepada pintu air.

"Pengepaman air banjir di pintu air menggunakan empat unit pam bergerak dengan jumlah kapasiti 960 liter per saat.

"Secara tidak langsung, pam ini berjaya membantu situasi pintu air dan menurunkan aras banjir di Taman Sri Muda.

"Hari ini, pintu air dibuka untuk mengeluarkan air banjir dari Taman Sri Muda dengan keadaan pintu air nombor satu kekal ditutup bagi tujuan operasi pam manakala pintu air nombor dua dan nombor tiga dibuka sebanyak 0.5 meter," katanya.

Menurutnya, aras banjir juga memberi kesan kepada rumah pam kekal di kolam takungan banjir Taman Sri Muda untuk berfungsi menyalurkan air banjir.

"Pencawang elektrik Tenaga Nasional Berhad (TNB) yang tenggelam semasa banjir menyebabkan empat unit pam berkapasiti 2000 liter per saat dihenti tugas akibat ketiadaan bekalan elektrik," katanya.

Izham berkata, pengoperasian empat unit pam bergerak di pintu air Persiaran Budiman berjaya menurunkan aras banjir di Taman Sri Muda.

"Ini membolehkan generator bergerak TNB berjaya dibawa masuk ke rumah pam kolam takungan banjir Taman Sri Muda jam 4 pagi tadi, selepas kenderaan mangsa banjir di sepanjang jalan dialihkan.

"Rumah pam dijangka akan beroperasi pada hari ini, tertakluk kepada proses pengoperasian dan pembaikan komponen mekanikal dan elektrikal rumah pam.

"Kerajaan negeri berharap, bekalan elektrik dapat dipulihkan dan disegerakan supaya pintu air dapat beroperasi sepenuhnya," katanya.

Beliau berkata, struktur pintu air berfungsi sebagai struktur kawalan aliran bagi saliran utama Taman Sri Muda dan menghalang kemasukan air Sungai Klang ke saliran utama Taman Sri Muda semasa kesan air pasang tinggi laut (high tide).

"Struktur pintu air ini mempunyai tiga pintu yang berfungsi secara automasi dan pengoperasian bergantung kepada bekalan elektrik daripada TNB," katanya.

Kata beliau, taburan hujan luar biasa di Selangor antara 100 milliliter (mm) ke 400mm secara berterusan mulai 17 hingga 19 Disember itu mengakibatkan banjir di 186 kawasan membabitkan sembilan daerah di Selangor.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 Disember 2021 @ 5:11 PM