Hidayatidayu Razali

Kota Bharu: Enam mangsa banjir yang dikesan positif Covid-19 dipindahkan ke Hospital Gua Musang (HGM) sehingga semalam.

Pengarah Kesihatan Negeri Datuk Dr Zaini Hussin berkata, kesemua mereka itu dikesan sebaik sahaja mahu berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS).

Menurutnya, petugas kesihatan membuat ujian saringan dan mengesan mereka positif Covid-19 sebelum menghantar menempatkan mereka di hospital untuk dikuarantin.

"Enam kes positif berkenaan membabitkan lima kes bagi kategori satu dan satu lagi untuk kategori dua.

"Tindakan mengasingkan mereka diambil sebagai langkah untuk mengelakkan penularan Covid-19 di PPS," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Mengulas lanjut Dr Zaini berkata, kesemua mangsa banjir menjalani ujian saringan Covid-19 terlebih dahulu terutamanya bagi mempunyai gejala.

Beliau menasihatkan mangsa banjir yang bergejala supaya dapat memaklumkan kepada petugas di PPS bagi memudahkan tugasan untuk mengasingkan mereka sekali gus mengekang penularan wabak itu.

"Pihak kita juga sentiasa bersedia untuk membantu mangsa banjir bagi memastikan kesihatan semua yang terbabit berada pada tahap yang terbaik.

"Mereka juga dinasihatkan menjaga diri dan keluarga serta patuh kepada prosedur operasi standard (SOP) memandangkan kes Covid-19 masih lagi membimbangkan," katanya.

GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 Disember 2021 @ 6:25 PM