Shamran Sarahan dan Sri Ayu Kartika Amri


CADANGAN untuk memastikan semua sektor membabitkan pekerja warga asing perlu berhenti beroperasi seketika dan menjalani saringan tidak praktikal.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) tidak mengesyorkan kesemua pekerja warga asing yang berada di negara ini untuk menjalani saringan serentak dalam satu masa.

Beliau berkata, kapasiti makmal ujian boleh melakukan sebanyak 30,000 ujian sehari, justeru saringan akan dilakukan mengikut kluster.

Katanya, lebih lima juta pekerja asing di negara ini dan tidak praktikal untuk menjalankan saringan terhadap mereka semua kerana ia akan memakan masa yang panjang.

"Ujian saringan akan dibuat dari semasa ke semasa. Walaupun kemampuan makmal kita boleh melakukan 30,000 ujian sehari, kita akan membuatnya mengikut kumpulan tersasar.

"Kita akan pastikan saringan dibuat mengikut kluster yang terbabit, jika didapati ada antara mereka positif (Covid-19), kita akan membuat sanitasi dan mengasingkan kontak rapat, sekiranya positif kita akan kuarantin 14 hari di hospital," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media harian Covid-19 di Putrajaya, hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, KKM akan terus memantau perkembangan jangkitan Covid-19 di dalam negara dan juga luar negara melalui maklumat yang diperoleh daripada Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

"Orang ramai akan sentiasa dimaklumkan sebarang perkembangan terkini mengenainya.

"Begitu juga, KKM akan memastikan langkah pencegahan dan kawalan yang sewajarnya adalah dilaksanakan secara berterusan," katanya.

GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP

  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 Mei 2020 @ 7:41 PM