Hasni Mohammad (tiga dari kanan) pada Mesyuarat UMNO Pontian, di sini, hari ini. FOTO IHSAN UMNO PONTIAN
Hasni Mohammad (tiga dari kanan) pada Mesyuarat UMNO Pontian, di sini, hari ini. FOTO IHSAN UMNO PONTIAN
Oleh Mohamed Farid Noh


Pontian: Kerajaan Johor akan meminda had kelayakan umur mengundi dan calon bertanding kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) negeri ini daripada 21 tahun kepada 18 tahun, pada Sidang Khas DUN, 6 Januari depan.

Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad, berkata sidang khas itu diadakan bagi meminda Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Johor 1895.

"Pindaan ke atas Perlembagaan negeri tertua negara itu bagi membolehkan kelayakan mengundi dan calon DUN diturunkan dari 21 ke 18.

"Pindaan ini perlu dilakukan bagi menyeragamkan undang-undang tubuh kerajaan negeri dengan Perlembagaan Persekutuan. Oleh itu, sidang khas DUN akan diadakan pada 6 Januari depan bagi membuat pindaan berkenaan.

"Kita pinda supaya kelayakan mengundi dan menjadi calon diturunkan ke usia 18 tahun kerana tidak mahu memberi isyarat salah kepada orang muda di Johor.

"Johor tidak mahu orang muda anggap kerajaan negeri menyekat mereka jika pindaan itu tidak dibuat sekali gus mengelakkan implikasi undang-undang termasuk pilihan raya kecil (PRK) perlu diadakan di masa hadapan," katanya ketika merasmikan Mesyuarat UMNO Bahagian Pontian, di sini, hari ini.

Pada 28 November lalu, Hasni yang juga Pengerusi UMNO Johor, dilaporkan berkata satu sidang khas DUN Johor akan diadakan dalam masa terdekat.

Ia bagi meminda Fasal 16 Bahagian 2, Undang-Undang Tubuh Kerajaan Johor yang ketika ini hanya membenarkan warganegara berusia 21 tahun bermaustatin di negeri ini, layak menjadi calon Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).

Sebelum ini, semua Menteri Besar dan Ketua Menteri dilaporkan bersetuju meminda Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri bagi membolehkan individu berusia 18 tahun untuk mengundi dan menjadi calon Pilihan Raya Umum (PRU), Pilihan Raya Negeri (PRN) dan Pilihan Raya Kecil (PRK).

Perkara itu dipersetujui dalam Mesyuarat Menteri Besar dan Ketua Menteri (MBKM) Ke-137 yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Setakat ini, beberapa negeri telah meminda perlembagaan negeri masing-masing bagi tujuan tersebut antaranya termasuk Sabah pada Disember 2019; Perlis (Mei 2020); Terengganu (Ogos 2020); Sarawak (November 2020); Kelantan (Disember 2020) dan Perak (Julai 2020) dan Pulau Pinang (September 2021) dan Kedah, baru-baru ini.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 Disember 2021 @ 3:28 PM