Datuk Seri Aminuddin Harun pada Persidangan Kedua (Belanjawan) Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri Sembilan Yang Ke-14 di Wisma Negeri, hari ini. FOTO BERNAMA
Datuk Seri Aminuddin Harun pada Persidangan Kedua (Belanjawan) Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri Sembilan Yang Ke-14 di Wisma Negeri, hari ini. FOTO BERNAMA
BERNAMA

Seremban: Dewan Undangan Negeri (Dun) Negeri Sembilan, hari ini, meluluskan Enakmen Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan (Pindaan) 2021 bagi menurunkan had umur seseorang warganegara layak menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) daripada 21 tahun kepada 18 tahun.

Pindaan terhadap Perkara 49 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959 itu diluluskan selepas mendapat sokongan 32 daripada 36 Adun dengan empat lagi tidak hadir bagi sesi penggundian itu.

Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun ketika mencadangkan bacaan kali kedua RUU itu berkata, pindaan itu bagi mengikut Seksyen 5 Jadual Kelapan Perlembagaan Persekutuan yang dipinda melalui Seksyen 4 Akta Perlembagaan (Pindaan) 2019 (Akta A1603) untuk tujuan sama.

Beliau berkata, sekiranya kerajaan negeri tidak meminda undang-undang itu untuk mengikut Seksyen 5 Jadual Kelapan Perlembagaan Persekutuan, maka beberapa implikasi akan timbul sekiranya pilihan raya Parlimen dan Dun diadakan serentak.

"Ia termasuk kejanggalan daripada segi perbezaan umur minimum calon boleh bertanding sebagai Adun akan wujud sekiranya enakmen itu tidak dipinda selain pelaksanaan yang tidak seragam dengan negeri lain yang terlebih dahulu membuat pindaan itu.

"Selain itu, petisyen pilihan raya boleh difailkan untuk mencabar keputusan Pegawai Pengurus kelak sebagaimana diperuntukkan di bawah Peraturan 7 Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Penjalanan Pilihan Raya) 1981," katanya.

Sementara itu, Datuk Seri Mohamad Hasan (BN-Rantau) ketika perbahasan turut menyambut baik pindaan bagi had umur calon Dun diturunkan selain menyifatkan golongan muda adalah penentu masa depan negara dan penglibatan dalam politik penting dalam pembinaan negara bangsa.

"Ini selaras dengan kehendak rakyat, golongan muda dapat menentukan masa depan dan seiring peredaran zaman serta penting dalam proses pembentukan dasar dan membawa politik lebih progresif," katanya.

Anthony Loke Siew Fook (PH-Chennah) pula berkata, pindaan itu adalah langkah tepat seiring dengan perkembangan politik semasa dan generasi muda bakal menentukan hala tuju negara dengan lebih dinamik pada masa hadapan.

Bagaimanapun, pindaan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959 bagi Perkara 38 berkaitan mengehadkan tempoh jawatan Menteri Besar Negeri Sembilan kepada dua penggal tidak diluluskan susulan tidak mendapat mendapat sokongan dua pertiga Adun.

Ini kerana, hanya 19 Adun bersetuju, 13 tidak bersetuju manakala empat tidak hadir sesi pengundian.

Persidangan Dun ditangguhkan ke suatu tarikh akan ditentukan kemudian.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 Disember 2021 @ 5:01 PM