GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Mohamad Fahd Rahmat


Kluang: Dewan Undangan Negeri (Dun) Johor harus mempercepatkan pindaan undang-undang pada sidang November ini sejajar dengan pelaksanaan Undi18 di peringkat Persekutuan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Paloh Sheikh Omar Ali berkata, pada 3 September lalu juga, Mahkamah Tinggi Kuching memerintahkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan kerajaan melaksanakan Undi18 menjelang 31 Disember tahun ini.

"Pindaan undang-undang ini bagi membolehkan tiga perkara asas kepada Undi18 ini dapat tercapai, iaitu hak mengundi kepada belia 18 tahun hingga 20 tahun, pendaftaran automatik sebagai pengundi (AVR) dan umur calon pilihan raya Dun kepada 18 tahun," katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau yang juga Setiausaha Publisiti DAP Negeri Johor berkata, pada ketika ini, Fasal 16 Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Johor menyatakan kelayakan bagi seseorang Adun di negeri ini mestilah berusia 21 tahun atau lebih sahaja.

"Pada tahun 2019, Parlimen Malaysia meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) bagi menurunkan umur seseorang warganegara yang layak untuk mengundi daripada 21 tahun kepada 18 tahun bersama dengan pendaftaran warganegara secara automatik sejurus mereka mencapai umur 18 tahun. Pindaan ini sebagaimana maklum, lebih dikenali sebagai Undi18.

"Sehingga kini, terdapat tujuh negeri iaitu Pulau Pinang, Sabah, Perlis, Terengganu, Sarawak, Kelantan, dan Perak sudah meminda Perlembagaan atau Undang-undang Tubuh Negeri masing-masing bagi membolehkan Undi18 dilaksanakan bagi Dun masing-masing," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 September 2021 @ 3:44 PM