GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
BERNAMA

Shah Alam: Selangor akan meminda Undang-Undang Tubuh Kerajaan negeri itu bagi membenarkan calon dari kalangan belia berusia 18 tahun, bertanding dalam pilihan raya pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor bermula 26 Nov depan.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Generasi Muda, Sukan dan Modal Insan negeri Mohd Khairuddin Othman berkata, pindaan undang-undang tubuh itu, selaras dengan kelulusan pindaan Perlembagaan Persekutuan pada 15 Julai 2019 untuk menurunkan umur warganegara yang layak bertanding dalam pilihan raya daripada 21 kepada 18 tahun, serta menurunkan umur layak mengundi daripada 21 kepada 18 tahun.

"Pindaan akan dibuat dalam sidang yang akan datang ini dan kerajaan negeri mendukung penuh inspirasi serta pembangunan belia di negeri ini untuk masa depan Selangor," katanya pada sidang media Townhall Undi 18 Wacana Pemacuan Undi 18 Negeri Selangor, di sini hari ini.

Jelas Mohd Khairudin program yang dilaksanakan jawatankuasa beliau hari ini juga, sebagai persiapan dalam mengumpulkan dapatan berkaitan pelaksanaan Undi 18 di peringkat Selangor.

Sidang DUN Selangor dijadualkan pada 26 Nov sehingga 9 Dis depan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 November 2021 @ 4:24 PM