DATUK Seri Aminuddin Harun.
DATUK Seri Aminuddin Harun.
Mohd Amin Jalil
am@hnmetro.com.my


Seremban: Kerajaan negeri akan meminda undang-undang berkaitan Undi 18 pada sidang Dewan Undangan Negeri (Dun) akan datang.

Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, rang undang-undang berkaitan dengan Undi 18 itu sudah dipersetujui pada peringkat EXCO kerajaan negeri.

"Kita sudah bincang dalam mesyuarat EXCO mengenai perkara ini dan ia diluluskan.

"Kita akan bentangkan rang-rang undang-undang mengenainya pada sidang Dun akan datang," katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Mingguan EXCO di Wisma Negeri di sini, hari ini.

Sebelum ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar dilaporkan berkata, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah diarah melaksanakan Undi 18 menjelang 31 Disember depan, sebagai mematuhi keputusan mahkamah.

Dr Wan Junaidi berkata, lima negeri masih belum membuat pindaan kepada Perlembagaan Negeri atau Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri untuk membolehkan warganegara yang berumur 18 tahun mengundi mahupun menjadi calon Dun dalam pilihan raya.

Undi 18 menimbulkan pelbagai polemik berikutan banyak pihak, termasuk kerajaan dan pembangkang, mendesak supaya ia dilaksanakan tahun ini atau menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 September 2021 @ 4:36 PM