ANGGOTA penyelamat memantau dan meneruskan operasi mencari dan menyelamat (OP Carilamat) mangsa bot pancung terbalik di persisir pantai perairan Tanjung Balau, Kota Tinggi. FOTO Nur Aisyah Mazalan
ANGGOTA penyelamat memantau dan meneruskan operasi mencari dan menyelamat (OP Carilamat) mangsa bot pancung terbalik di persisir pantai perairan Tanjung Balau, Kota Tinggi. FOTO Nur Aisyah Mazalan
Omar Ahmad


Johor Bahru: Identiti 13 pendatang asing tanpa izin (Pati) yang selamat dalam insiden bot pancung terbalik di Perairan Tanjung Balau, di sini, kelmarin sudah dikenal pasti.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan Konsulat Jeneral Republik Indonesia (KJRI) Johor Bahru, mereka yang terselamat terdiri dari 11 lelaki dan dua wanita.

Katanya, sembilan daripadanya dari Lombok dan masing-masing seorang berasal dari Batam, Pekan Baru, Jember, dan dari Tanjung Balai Karimun, Indonesia.

"Kesemua 13 mangsa yang selamat dalam keadaan sihat dan masih ditempatkan di Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Negeri Johor.

"Kakitangan KJRI akan memastikan tahap kesihatan, komunikasi dan memberi pandangan serta nasihat kepada keluarga mangsa di Indonesia.

"Sehingga petang tadi, tiga jenazah mangsa insiden itu sudah disahkan pihak keluarga, satu jenazah yang dikenali sebagai M disahkan berasal dari Pekan Baru, manakala dua yang dikenali sebagai BB dan SM berasal dari Lombok Tengah.

"Kakitangan KJRI telah berbincang dengan pihak keluarga serta agensi berkaitan untuk proses membawa pulang jenazah ke daerah asal di Indonesia," kata kenyataan itu.

Pihak KJRI Johor Bahru membuka hotline aduan bagi keluarga dan masyarakat yang ingin mendapatkan maklumat berkaitan insiden itu di talian: +6016-7700378 atau +6017-7716866.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 Disember 2021 @ 7:46 PM