GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Mary Victoria Dass


Johor Bahru: Sebuah bot membawa 10 penumpang warga Indonesia didakwa karam di perairan Batu Putih pada awal pagi hari ini, namun kejadian itu masih menjadi tanda tanya berikutan masih tiada sebarang petunjuk berhubung insiden.

Jurucakap Konsulat Republik Indonesia Johor Bahru berkata, pihaknya menerima maklumat daripada Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) berkaitan panggilan kecemasan bot karam.

Menurutnya, pihaknya dimaklum panggilan dilakukan oleh seorang lelaki bernama Junaidi yang juga seorang mangsa bot karam.

Menurutnya, lelaki itu mendakwa bot dinaiki karam sekitar perairan Batu Putih (jarak 9.5 batu nautika dari Tanjung Penyusop, Johor).

Katanya, Junaidi bagaimanapun tidak dapat memberikan lokasi pasti berikutan tiada GPS di bot berkenaan.

"Berdasarkan maklumat daripada Junaidi, terdapat 10 penumpang di bot itu namun hanya memiliki satu jaket keselamatan dan ketika itu, mangsa masih berpaut pada bot.

"Junaidi mendakwa kapal itu dalam perjalanan dari Sungai Musoh ke Batam, Indonesia," katanya.

Menurutnya, pihaknya difahamkan pelbagai agensi di negara ini melakukan operasi pencarian namun tiada sebarang petunjuk berlakunya kejadian berkenaan.

"KJRI Johor Bahru sedang bekerjasama dengan agensi berkaitan di Malaysia dan Indonesia untuk memastikan kesahihan maklumat termasuk lokasi bot, mangsa dan mempersiapkan langkah-langkah penyelamatan yang perlu dilakukan," katanya menerusi kenyataan hari ini.

Mengikut sumber, kejadian berlaku pada jam 4 pagi dan sehingga kini tiada sebarang penemuan.

Manakala jurucakap APMM ketika dihubungi menyatakan akan mengeluarkan kenyataan berkaitan pengaduan kejadian yang diterima.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 September 2022 @ 7:53 PM