Aizat Sharif


Kangar: Enam pelantar ikan termasuk satu dimiliki Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) di Kuala Sungai Baru, Kuala Perlis, di sini musnah dalam kebakaran, 1.20 pagi, hari ini.

Ketua Polis Daerah Kangar Superitendan Wari Kiew berkata, kebakaran bagaimanapun tidak membabitkan kemalangan jiwa.

"Kebakaran dipercayai bermula dari sebuah pelantar ikan milik seorang lelaki dikenali sebagai Jan dan kebakaran itu kemundiannya merebak ke pelantar ikan bersebelahan kiri dan kanan.

"Dalam kebakaran itu juga, dua bot nelayan persendirian dan tiga motosikal turut musnah selain pukat serta tong ikan yang yang diletakkan di pelantar ikan berkenaan," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Katanya, nilai kerugian tidak dapat dipastikan lagi dan siasatan lanjut diserahkan kepada Unit Forensik Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Negeri Perlis.

ANGGOTA bomba giat memadamkan kebakaran. FOTO ihsan Bomba
ANGGOTA bomba giat memadamkan kebakaran. FOTO ihsan Bomba

Sementara itu, Pengarah JBPM Perlis, Penguasa Kanan Bomba 1 Ruhisha Haris berkata, anggota JBPM, dua jentera dan satu kenderaan pacuan empat roda dari Balai Bomba Simpang Empat dan Kuala Perlis dikerah ke tempat kejadian.

"Bantuan jentera turut tiba dari Balai Bomba Kangar bersama seorang pegawai dan 13 anggota.

"Selain itu, dua anggota Bomba Sukarela dari Simpang Empat dan Kuala Perlis turut menyertai kerja pemadaman dan api berjaya dikawal 1.50 pagi," katanya dalam kenyataan.

Punca kebakaran masih disiasat.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 Disember 2021 @ 10:26 AM