JENTERA bomba BBP Kuala Perlis terbalik selepas berlanggar dengan kereta Perodua Kancil di persimpangan Kilometer 5, Jalan Kuala Perlis-Kangar, Kangar. FOTO Ihsan pembaca
JENTERA bomba BBP Kuala Perlis terbalik selepas berlanggar dengan kereta Perodua Kancil di persimpangan Kilometer 5, Jalan Kuala Perlis-Kangar, Kangar. FOTO Ihsan pembaca
Dziyaul Afnan Abdul Rahman

JENTERA bomba terbalik ke dalam parit apabila terbabas selepas berlanggar dengan kereta Perodua Kancil di persimpangan Kilometer 5, Jalan Kuala Perlis-Kangar, Kangar, hari ini.

Kejadian berlaku pada 4.15 petang apabila kereta terbabit teragak-agak memberi laluan kepada jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Perlis sebelum mereka bertembung.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perlis, Ruhisha Haris berkata, ketika kejadian lima anggota dari BBP Kuala Perlis dalam perjalanan ke Bukit Lagi bagi operasi pemadaman kebakaran belukar.

“Berdasarkan rakaman kamera kenderaan lain, pemandu kereta terbabit kelihatan teragak-agak memberi laluan kepada jentera bomba sebelum dua kenderaan bertembung di persimpangan lampu isyarat.

“Pemandu jentera bomba menyangka pemandu kereta itu sudah memberi laluan kepadanya, namun terkejut kerana kereta terbabit turut bergerak keluar dari simpang.

“Keadaan itu menyebabkannya tidak sempat mengelak sebelum melanggar bahagian belakang kereta terbabit,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, hari ini.

KEADAAN jentera bomba BBP Kuala Perlis yang terbalik. FOTO Ihsan pembaca
KEADAAN jentera bomba BBP Kuala Perlis yang terbalik. FOTO Ihsan pembaca

Ruhisha berkata, sejurus pelanggaran terbabit, jentera itu terbabas dan terbalik ke dalam parit berdekatan pejabat Kraftangan Perlis.

“Kelima-lima anggota bomba tidak mengalami kecederaan serius, namun pemandu kereta terbabit luka di kepala dan dibawa ke Hospital Tuanku Fauziah (HTF) bagi mendapatkan rawatan,” katanya.

Sementara itu, jurucakap polis berkata, kejadian berkenaan disiasat mengikut Kaedah 10 LN166/59.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 Februari 2020 @ 8:27 PM