Bengkel milik Abdul Nasir hangus terbakar dalam kebakaran hari ini. FOTO Ihsan Pembaca
Bengkel milik Abdul Nasir hangus terbakar dalam kebakaran hari ini. FOTO Ihsan Pembaca
Dziyaul Afnan Abdul Rahman


PEMILIK bengkel membaiki bot kerugian lebih RM800,000 selepas bengkelnya musnah terbakar di Kampung Permatang Limau Manis, Sanglang, Kangar hari ini.

Dalam kebakaran jam 1 tengah hari itu, 11 bot pemilik bengkel dan pelanggan musnah.

Pemilik bengkel Abdul Nasir Othman, 55, berkata, ketika kebakaran itu berlaku dia bersama beberapa pekerja sedang membaiki bot pelanggannya dan kejadian dipercayai akibat pembakaran jerami terbuka.

“Saya ada perasan lelaki yang membakar jerami tengah hari tadi, namun kami meneruskan pekerjaan seperti biasa kerana aktiviti itu memang rutin penduduk di sini.

“Namun selepas beberapa lama, api mula merebak ke arah bengkel dan semakin lama semakin dekat jaraknya sehingga memaksa kami mengawal api,” katanya.

Abdul Nasir berkata, dia bersama pekerjanya tidak dapat mengawal api dari terus merebak kerana angin terlalu kuat sehingga api semakin marak.

“Api terus menjulang sehingga masuk ke dalam bengkel dan memusnahkan hasil kerja saya selama 10 tahun ini,” katanya.

Sementara itu Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Perlis, Ruhisha Haris ketika ditemui berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 1.30 petang.

“Bomba dengan 20 anggota dan empat pegawai dari Balai Bomba Kuala Perlis, Kangar dan Simpang Empat dibantu tiga pasukan bomba simpanan seramai 18 orang dan 20 orang dari Agensi Pertahanan Awam membantu memadamkan kebakaran.

“Kebakaran berjaya dikawal selepas dua jam dan kami berharap penduduk mengelak melakukan pembakaran terbuka kerana ia boleh memberi kesan besar dan meragut nyawa jika tidak dikawal,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 16 Februari 2019 @ 8:20 PM