HOO (kiri) ketika meninjau pameran sempena program Talk To Us di Pasar Borong Bahau. FOTO Abnor Hamizam Abd Manap
HOO (kiri) ketika meninjau pameran sempena program Talk To Us di Pasar Borong Bahau. FOTO Abnor Hamizam Abd Manap
Abnor Hamizam Abd Manap


Jempol: Sikap panik dan tamak antara punca individu mudah menjadi mangsa penipuan sindiket Macau Scam, Love Scam, pelaburan dan pinjaman tidak wujud serta e-belian.

Ketua Polis Daerah Jempol, Superintendan Hoo Chang Hook berkata, sejak Januari hingga November sebanyak 168 laporan polis dibuat mangsa yang menjadi mangsa penipuan membabitkan jenayah komersil di daerah ini.

Katanya, keseluruhan kerugian ialah RM1.35 juta dengan penipuan Macau Scam paling tinggi iaitu RM394,139.

"Kerugian menerusi penipuan e-belian berjumlah RM314,728 diikuti Love Scam (RM297,593), pinjaman tidak wujud (RM183,316) dan pelaburan tidak wujud (RM140,846).

"Sehingga November lalu, Bahagian Siasatan Jenayah Komersil (BSJK) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jempol berjaya melakukan sebanyak 136 tangkapan membabitkan pemilik akaun (mule akaun)," katanya ditemui pada program Talk To Us di Pasar Borong Bahau, semalam.

Hoo berkata, dalam tempoh itu juga, sebanyak 70 pertuduhan dibawa ke mahkamah bagi tindakan selanjutnya.

Katanya, orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa peka dan mengambil tahu modus operandi yang digunakan penjenayah.

Sementara itu, Hoo berkata, IPD Jempol sudah mengadakan sebanyak lima kali program Talk To Us sepanjang tahun ini mengikut kawasan balai polis di daerah ini.

"Kita perlu melaksanakan lapan program pada setiap tahun dengan program bertujuan mendekatkan masyarakat bersama polis," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 Disember 2021 @ 11:24 AM