Foto hiasan
Foto hiasan
Mohd Haris Fadli Mohd Fadzil

Petaling Jaya: Orang ramai dinasihatkan lebih berwaspada berikutan peningkatan kes penipuan atau 'scam' sejak Januari hingga April lalu berbanding tempoh sama 2022.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, kes itu membabit kerugian mencecah RM10.33 juta dalam tempoh empat bulan.

"Itu adalah jumlah kerugian yang agak tinggi dan kita nasihatkan orang ramai supaya lebih berhati-hati bila berurusan di alam siber ini.

"Sama ada urusan jual beli online, sindiket love scam, sindiket menyamar pihak berkuasa atau sindiket tawaran kerja yang akhirnya meminta kita membayar wang kepada mereka," katanya kepada Harian Metro.

Menurutnya, sebanyak 305 kertas siasatan dibuka yang mana kes penipuan belian dalam talian atau e-dagang mencatat jumlah tertinggi sebanyak 145, penipuan melalui alat telekomunikasi (120), penipuan kewangan (30), dan love scam (sembilan).

Katanya, dalam usaha mendidik masyarakat setempat, polis mengadakan 331 perjumpaan dengan komuniti tempatan di sekitar Petaling Jaya.

"Kita bertemu dengan mereka dan mengadakan sesi community policing bagi menerangkan jenayah termasuk penipuan.

"Kita adakan banyak kempen kesedaran kepada masyarakat bagi mengelakkan mereka menjadi mangsa pihak tidak bertanggung jawab," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 Mei 2023 @ 3:08 PM