SEBUAH tadika di bandar Melaka yang ditutup. FOTO Iqmal Haqim Rosman
SEBUAH tadika di bandar Melaka yang ditutup. FOTO Iqmal Haqim Rosman
Amir Abd Hamid


Kuala Lumpur: Ikatan Guru-Guru Muslim Malaysia (i-Guru) bimbang ramai murid tahun satu dan tadika berkemungkinan gagal menguasai 3M iaitu membaca, mengira dan menulis disebabkan tempoh lama tidak bersekolah secara bersemuka.

Presiden i-Guru, Mohd Azizee Hasan berkata, golongan di peringkat baharu memasuki sistem pendidikan itu berisiko gagal menguasai literasi dan numerasi atau menguasai huruf serta nombor.

"Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) kena tangani isu ini sebaiknya. Ia menjadi kerisauan ibu bapa akibat tempoh belajar di rumah yang lebih lama berbanding di sekolah.

"Anak kecil ini berisiko terdedah kepada masalah buta huruf," katanya.

Apa pun, katanya, i-Guru menyokong keputusan KPM menutup sekolah bermula 9 November hingga hari terakhir persekolahan tahun ini kerana yang penting sekarang ialah keutamaan menjaga kesihatan dan keselamatan semua murid dan guru susulan kes Covid-19 membabitkan beberapa sekolah.

Beliau berkata, penularan Covid-19 khususnya di sekolah perlu dibendung untuk mengelak pertambahan kes positif.

"Penutupan sekolah jelas menghilangkan keresahan dan kebimbangan ibu bapa. Pada dasarnya kita akur dengan pengumuman takwim dan penjadualan tarikh peperiksaan yang baharu itu.

"Di pihak i-Guru kita melihat perubahan tarikh peperiksaan ini mengambil kira perkembangan Covid-19 sedia ada berdasarkan laporan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN)," katanya ketika dihubungi Harian Metro, hari ini.

Namun, katanya, perubahan takwim dan jadual menyebabkan segelintir pelajar terjejas emosi dan menghadapi tekanan malah termasuk juga guru mengajar subjek peperiksaan utama.

Menurutnya, lebih terkesan lagi ialah guru di sekolah persendirian yang bergantung pendapatan kepada sumber yuran pelajar.

"Dalam situasi ini sokongan moral ibu bapa dan bantuan kaunseling amat diperlukan supaya pelajar kekal positif dan fokus kepada peperiksaan.

"Pelajar perlu memanfaatkan ruang masa pelanjutan 'cuti' ini untuk terus berusaha dan mengulangkaji pelajaran dan membuat persediaan secukupnya untuk hadapi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) atau Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM).

"Ini kerana keadaan belajar di rumah tidak sama ketika belajar secara bersemuka di sekolah. Suasana yang kurang kondusif, isu penggunaan alat peranti dan capaian Internet adalah antara kekangan yang terpaksa dilalui pelajar," katanya.

Bagi guru pula, katanya, mereka perlu menjadikan tempoh lanjutan peperiksaan itu untuk kekal bermotivasi membantu pelajar konsisten dalam memastikan kejayaan dalam peperiksaan. Menurutnya, guru perlu kreatif dan menggunakan apa saja medium untuk menyampaikan ilmu kepada pelajar.

"Kebimbangan bahawa pelajar akan hilang fokus itu memang ada. Namun sistem sokongan sekolah, sikap positif ibu bapa, peranan kaunselor dan motivasi guru Insya-Allah dapat membantu pelajar kekal tabah dan bersemangat dalam menghadapi peperiksaan nanti.

"KPM perlu segera kenalpasti pelajar yang terjejas sama ada dari sudut emosi dan kemampuan akses Internet dan tangani hal ini dengan membantu mereka.

"Juga kepada guru terutama yang mengajar di pedalaman dan luar bandar. Kerajaan perlu segera memberikan insentif bantuan dan bajet yang diperuntukkan perlu dipermudahkan serta dipercepatkan," katanya.

Kelmarin, Menteri Kanan (Pendidikan), Dr Radzi Jidin mengumumkan KPM menutup semua sekolah bermula 9 November hingga hari terakhir persekolahan tahun ini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 10 November 2020 @ 1:57 PM