PIHAK pengurusan sekolah harus diberikan autonomi dalam menentukan bentuk penggiliran pelajar ke sekolah apabila sesi persekolahan bersemuka bermula awal bulan depan. FOTO Arkib NSTP
PIHAK pengurusan sekolah harus diberikan autonomi dalam menentukan bentuk penggiliran pelajar ke sekolah apabila sesi persekolahan bersemuka bermula awal bulan depan. FOTO Arkib NSTP
Mohd Amin Jalil

Seremban: Pihak pengurusan sekolah harus diberikan autonomi dalam menentukan bentuk penggiliran pelajar ke sekolah apabila sesi persekolahan bersemuka bermula awal bulan depan.

Presiden Persatuan Ikatan Guru-Guru Muslim Malaysia (i-Guru), Mohd Azizee Hasan berkata, penggiliran itu membabitkan sama ada ikut kelas atau mengikut tingkatan atau tahun pelajar.

"Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) harus memberikan ruang dan pilihan kepada pihak sekolah untuk memilih kaedah terbaik daripada segi penggiliran berdasarkan komposisi pelajar.

"Ia sudah tentu berbeza bagi setiap sekolah kerana turut membabitkan juga faktor kemudahan dan infrastruktur yang sedia ada," katanya, hari ini.

Semalam, Menteri Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin dilaporkan berkata, pembukaan semula sesi persekolahan tahun ini yang akan dilanjutkan sehingga Februari tahun depan, akan menggunakan kaedah penggiliran pelajar secara mingguan.

Dr Radzi berkata, kapasiti kehadiran pelajar setiap minggu ditetapkan pada kadar 50 peratus daripada jumlah keseluruhan, bagi mengurangkan jumlah dalam kelas dan risiko penularan Covid-19 selain memudahkan pengawalan terhadap pelajar serta kepatuhan prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

Dalam perkembangan sama, Mohd Azizee berkata, pihaknya juga berharap kementerian dapat menambah baik SOP yang sedia ada dengan mengambil kira dua kategori pelajar iaitu yang sudah divaksin dan belum divaksin.

"Ini penting supaya pengoperasian sekolah nanti dapat dikawal selia dengan baik dan meminimakan kadar jangkitan Covid-19.

"Kami juga berharap program vaksinasi pelajar terutama mereka yang akan mengambil peperiksaan utama dapat dipercepatkan bagi mengurangkan risiko jangkitan sekali gus memastikan eko sistem pendidikan yang selamat dan terjamin," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 September 2021 @ 10:03 AM