DATUK Seri Mahdzir Khalid.
DATUK Seri Mahdzir Khalid.
Samadi Ahmad

[email protected].

Putrajaya: Majlis Amanah Rakyat (MARA) memandang serius isu buli membabitkan pelajar di sebuah sekolah berasrama didakwa berlaku di Perak.

Menteri Pembangunan Luar Bandar (KPLB), Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, pihak MARA akan melaksanakan siasatan terperinci terhadap isu buli yang tular di media sosial itu.

Dia memaklumkan sudah mengarahkan pihak pengurusan MARA untuk menjalankan siasatan terperinci berkaitan kes berkenaan dan tidak akan berkompromi terhadap sebarang salah laku buli membabitkan pelajar.

Katanya, tindakan tegas akan diambil terhadap pelajar yang terbabit berdasarkan peruntukan dan peraturan sedia ada di peringkat pengurusan MARA sekiranya video yang tular itu adalah benar.

"Pihak MARA juga tidak sesekali memberi ruang kepada sebarang tindakan atau perbuatan salah laku yang menyalahi etika kemanusiaan.

"Selain itu kementerian juga tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang melakukan sebarang salah laku atau perbuatan yang menyalahi undang-undang, peraturan dan tata etika di mana-mana premis seliaan kami," katanya tadi.

Sementara itu, polis sudah membuka kertas siasatan berhubung kejadian buli membabitkan pelajar lelaki yang berlaku di sekolah berasrama di Perak.

Sementara itu, Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin berkata, beliau menerima hantaran video yang tular membabitkan pelajar dipukul di sebuah asrama.

"Berdasarkan siasatan awal, kami mendapati kejadian itu tidak membabitkan institusi di bawah KPM.

"KPM sudah berhubung dengan pihak yang terbabit. KPM komited untuk menyediakan persekitaran sekolah yang selamat selaras dengan konsep #sekolahkuSEJAHTERA," katanya yang dikongsi di Faceeboknya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 Disember 2021 @ 5:25 PM