GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP.
GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP.
Mohd Amin Jalil


Seremban: Ikatan Guru-Guru Muslim Malaysia (i-Guru) kesal dengan dakwaan segelintir pihak yang mendakwa guru tidak memantau dan mengawal pelajar yang dikhuatiri boleh terdedah kepada jangkitan Covid-19.

Presiden i-Guru, Mohd Azizee Hasan berkata, guru adalah kumpulan barisan hadapan penting bagi memastikan keselamatan dan kesihatan pelajar bermula sebelum hadir ke sekolah sehingga tamat waktu persekolahan.

Katanya, mereka menjalankan tugas mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan berdasarkan Garis Panduan Pengurusan Pembukaan Sekolah, dikeluarkan Kementerian Pendidikan (KPM).

"Guru juga adalah warden yang berkerja sepenuh masa di asrama dalam memastikan keselamatan dan kesihatan pelajar dijaga.

"Adalah tidak adil jika kita meletakkan beban pemantauan anak selepas waktu persekolahan kepada guru kerana ia terletak di bawah tanggungjawab ibu bapa.

"Tidak dinafikan ketika di dalam kawasan sekolah ia menjadi tanggungjawab pihak pengurusan, tetapi selepas sesi pengajaran dan pembelajaran (PdP), menjadi tanggungjawab ibu bapa pula memantau pergerakan anak masing-masing," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Baru-baru ini, terdapat beberapa pihak yang mempersoalkan cara guru memantau pergaulan pelajar terutama ketika selesai waktu persekolahan atau di luar kawasan sekolah.

Mereka melahirkan kebimbangan dengan cara pergaulan pelajar yang tidak melakukan penjarakan fizikal sehingga dikhuatiri boleh menyebabkan berlakunya penularan Covid-19.

Mohd Azizee berkata, guru atau pengurusan sekolah memerlukan sokongan semua pihak termasuk masyarakat setempat dan pihak berkuasa dalam mengingatkan pelajar keperluan mematuhi SOP ditetapkan Kementerian Kesihatan (KKM).

"Jika kita meletakkan beban pada guru untuk memantau pelajar selepas waktu persekolahan, ia akan menambah tekanan dan bebanan kepada mereka.

"Kami (i-Guru) berharap ibu bapa dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) dapat membantu sekolah memantau pelajar untuk bersama-sama memastikan mereka tidak dijangkiti Covid-19 sekali gus menjamin keselamatan semua pihak," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 30 September 2020 @ 10:00 AM