Izz Laily Hussein

Johor Bahru: Menyembunyikan dadah dalam soket lampu LED sebelum menggunakan perkhidmatan kurier untuk diedarkan ke pasaran luar negara menjadi modus operandi digunakan satu sindiket pengedaran dadah sejak Ogos lalu sebelum berjaya ditumpaskan polis.

Ketua Polis Johor Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, sindiket itu tumpas dalam dua operasi khas dilancarkan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Johor kira-kira jam 5 petang pada 3 Oktober lalu hingga 3 pagi, 4 Oktober lalu.

Beliau berkata, operasi pertama dibuat di sebuah premis di Kawasan Perindustrian Senai, Kulai dan beberapa bungkusan dadah dalam soket lampu dirampas, manakala operasi kedua dibuat di sebuah kedai tayar di kawasan Kempas sebelum tiga lelaki ditahan bersama sejumlah dadah.

"Dua lelaki tempatan dan seorang lelaki warga asing berusia antara 33 hingga 40 tahun dipercayai ahli sindiket ditahan, manakala dua individu termasuk seorang wanita masih diburu polis.

"Sindiket ini menjadikan kedai tayar berkenaan sebagai tempat pembungkusan dadah sebelum diedarkan menggunakan perkhidmatan kurier untuk dibawa ke luar negara," katanya ketika sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini, hari ini.

Turut hadir, Timbalan Ketua Polis Johor, Deputi Komisioner M Kumar.

KAMARUL Zaman menunjukkan gambar suspek dan gambar barang rampasan yang dirampas dari dua serbuan dekat Senai dan Kempas. FOTO Izz Laily Hussein
KAMARUL Zaman menunjukkan gambar suspek dan gambar barang rampasan yang dirampas dari dua serbuan dekat Senai dan Kempas. FOTO Izz Laily Hussein

Menurut Kamarul Zaman, dalam operasi itu, polis merampas 10.35 kilogram atau 166 paket syabu bernilai RM341,616 yang mana jika dadah itu terlepas ke pasaran, ia boleh digunakan oleh seramai 51,760 penagih.

"Kita turut menyita dua kereta, sebentuk cincin, tiga jam tangan, wang tunai RM1,505 dan wang tunai SGD409 (RM1,415.47) dengan jumlah sitaan RM250,920.47," katanya.

Beliau berkata, hasil saringan awal air kencing mendapati semua suspek negatif dadah dan hasil semakan rekod lampau mendapati semua suspek tidak mempunyai rekod lampau dadah serta jenayah.

Katanya, semua suspek direman selama 12 hari bermula 4 Oktober lalu hingga 15 Oktober untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 Oktober 2023 @ 4:49 PM