LIM hadir di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. FOTO Bernama
LIM hadir di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. FOTO Bernama
BERNAMA

Kuala Lumpur: Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini diberitahu bahawa tiada kesilapan besar dalam kandungan dokumen Perjanjian Awalan Bagi Projek Penswastaan Jalan Utama dan Terowong di Pulau Pinang yang ditandatangani kerajaan negeri dan syarikat Consortium Zenith Beijing Urban Construction Group Sdn Bhd pada 2013.

Perkara itu disahkan oleh Pesuruhjaya Kehakiman Adlin Abdul Majid, 47, ketika memberi keterangan dalam kes rasuah membabitkan bekas Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng yang berdepan empat pertuduhan membabitkan pembinaan terowong dasar laut dan projek pembinaan jalan utama di negeri itu bernilai RM6.3 bilion.

Ketika disoal balas peguam Gobind Singh Deo, yang mewakili Lim, Adlin berkata ketika itu, beliau yang juga peguam di Tetuan Lee Hishammuddin Allen & Gledhill dan dilantik oleh kerajaan Pulau Pinang untuk menyediakan draf perjanjian berkenaan.

Saksi pendakwaan ke-12 itu berkata, draf perjanjian awal itu dibawa ke mesyuarat exco kerajaan Pulau Pinang pada 4 Oktober 2013 yang turut dihadiri bekas Penasihat Undang-Undang negeri Datuk Faiza Zulkifli, 61.

Beliau berkata, draf itu dibentang dan mendapat kebenaran exco selain persetujuan mereka untuk pindaan tertentu dibuat dalam perjanjian berkenaan.

Adlin berkata, tiada sebarang bantahan dikemukakan semasa mesyuarat exco berhubung perjanjian itu.

Gobind: Rakan saya yang bijaksana mendakwa terdapat 'kesilapan besar' dalam perjanjian itu. Adakah anda tahu mengenai sebarang kesilapan besar yang berlaku dalam perjanjian itu?

Adlin : Tidak.

Gobind: Datuk Faiza Zulkifli berkata terdapat kesilapan besar ketika merujuk kepada perenggan tertentu (dalam draf perjanjian itu). Adakah anda setuju bahawa terdapat kesilapan besar pada bahagian itu dalam perjanjian tersebut?

Adlin: Saya tidak setuju.

Saksi itu juga bersetuju dengan pembelaan bahawa kepentingan kerajaan negeri dilindungi melalui perjanjian itu kerana ia perlu melalui jawatankuasa tertentu sebelum dilaksanakan.

Adlin juga berkata, Faiza tidak pernah memaklumkan kepada beliau mengenai sebarang 'kesilapan besar' dalam perjanjian itu.

Pada prosiding sebelum ini, saksi pendakwaan ke-11 iaitu Faiza memberitahu mahkamah bahawa terdapat kesilapan besar dalam kandungan dokumen itu yang membabitkan lot tanah.

Terdahulu, saksi pendakwaan ke-13 Datin Seet Chin Leng, 55, memaklumkan mahkamah bahawa kali terakhir beliau berjumpa suaminya iaitu mendiang Datuk Ewe Swee Keng ialah pada 1 pagi sebelum mangsa maut terjatuh dari kondominium di Jalan Kelawi, Georgetown pada 5 pagi 5 Oktober lalu.

Mendiang Ewe, saksi pendakwaan yang sepatutnya memberi keterangan dalam kes rasuah membabitkan Lim, dilaporkan maut selepas terjatuh dari kondominium itu dan kes dilaporkan sebagai mati mengejut.

Seet berkata, beliau tidak tahu suaminya ke pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia untuk memberi keterangan kerana perkara itu tidak pernah dimaklumkan oleh mendiang.

Lim didakwa menggunakan kedudukan sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang untuk menerima rasuah RM3.3 juta sebagai tindakan membantu syarikat milik Datuk Zarul Ahmad Mohd Zulkifli mendapatkan projek pembinaan bernilai RM6,341,383,702.

Beliau didakwa melakukan perbuatan itu di Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang, Tingkat 28, Komtar, George Town antara Januari 2011 dan Ogos 2017.

Mengikut pertuduhan pindaan kedua, Lim didakwa meminta suapan daripada Zarul Ahmad sebanyak 10 peratus daripada keuntungan yang akan diperoleh syarikat itu sebagai penghargaan mendapatkan projek tersebut berhampiran The Garden Hotels, Lingkaran Syed Putra, Mid Valley City, Kuala Lumpur pada Mac 2011.

Setiausaha Agung DAP itu turut berdepan dua pertuduhan menyebabkan dua plot tanah bernilai RM208.8 juta milik Kerajaan Negeri Pulau Pinang dilupuskan kepada dua syarikat yang didakwa mempunyai kaitan dengan projek terowong dasar laut itu.

Beliau didakwa melakukan perbuatan itu di Pejabat Tanah dan Galian Pulau Pinang, Tingkat 21, Komtar pada 17 Februari 2015 dan 22 Mac 2017.

Perbicaraan di hadapan Hakim Azura Alwi bersambung esok.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 29 November 2021 @ 9:53 PM