LIM Guan Eng hadir di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur untuk perbicaraan kes menggunakan kedudukan sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang untuk menerima rasuah sebanyak RM3.3juta. FOTO Eizairi Shamsudin
LIM Guan Eng hadir di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur untuk perbicaraan kes menggunakan kedudukan sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang untuk menerima rasuah sebanyak RM3.3juta. FOTO Eizairi Shamsudin
Suraya Roslan


Kuala Lumpur: Bekas pengarah syarikat pembinaan menafikan di Mahkamah Sesyen di sini hari ini bahawa beliau menipu ketika memberikan keterangan dalam kes rasuah membabitkan Lim Guan Eng berhubung pembinaan terowong dasar laut dan projek pembinaan jalan utama di Pulau Pinang bernilai RM6.3 bilion.

Bekas pengarah syarikat Consortium Zenith Construction Sdn Bhd (CZCSB) Ibrahim Sahari, 59, berkata demikian ketika peguam mewakili Guan Eng, Gobind Singh Deo mempersoalkan mengenai kenyataan saksi itu di Mahkamah Sesyen Shah Alam tidak konsisten dengan kenyataannya di Mahkamah Sesyen di sini.

Gobind: Keterangan kamu (Ibrahim) tidak konsisten. Kamu berdua (Ibrahim dan seorang lagi pengarah syarikat CZCSB Datuk Zarul Ahmad Mohd Zulkifli) berbohong di mahkamah ini.

Ibrahim: Saya tidak menipu, saya tidak tahu sama ada Zarul Ahmad berbohong atau tidak, itu kena tanya beliau sendiri.

Isu keterangan tidak konsisten itu ditimbulkan oleh Gobind berikutan ketika memberikan keterangan di Mahkamah Sesyen Shah Alam berhubung kes tipu membabitkan ahli perniagaan G Gnanaraja, Ibrahim menyatakan seorang lagi pengarah syarikat CZCSB Datuk Zarul Ahmad Mohd Zulkifli memaklumkan beliau (Zarul Ahmad) ditipu Gnanaraja yang meminta wang RM19 juta.

Gnanaraja meminta RM19 juta bagi membantu menutup siasatan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung kesalahan pengubahan wang haram terhadap Zarul Ahmad.

Dalam prosiding di Mahkamah Sesyen di sini pada 28 Jun tahun lalu, Ibrahim memberitahu mahkamah bahawa Zarul Ahmad membuat pengakuan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan kepadanya (Ibrahim) bahawa beliau (Zarul Ahmad) sudah membuat pembayaran kepada Guan Eng selepas dibebaskan dari tahanan SPRM.

Ibrahim juga mengaku menyediakan invois dan baucar palsu yang mana wang itu kemudian digunakan untuk merasuah Guan Eng.

Pada 2019, Gnanaraja didakwa di Mahkamah Sesyen Shah Alam atas tiga pertuduhan rasuah RM19 juta membabitkan penipuan menutup kes berkaitan projek terowong Pulau Pinang.

Terdahulu, ketika disoal balas oleh seorang lagi peguam Tiara Katrina Fuad mewakili Guan Eng, Ibrahim bersetuju dengan kenyataannya di Mahkamah Sesyen Shah Alam bahawa wang itu (RM19 juta) diberikan kepada Gnanaraja untuk menutup siasatan kes pengubahan wang haram terhadap Zarul Ahmad.

Tiara Katrina: Berdasarkan keterangan bersumpah Encik Ibrahim di Mahkamah Shah Alam, setuju atau tidak saya katakan wang itu (RM19 juta) termasuk RM2 juta tidak diberikan kepada Lim Guan Eng pada Ogos 2017.

Ibrahim: Pada mesyuarat lembaga pengarah, hanya timbul isu penipuan oleh Gnanaraja, tiada apa-apa (dibangkitkan) berkenaan kes Lim Guan Eng.

Semasa disoal Timbalan Pendakwa Raya Mahadi Abdul Jumaat, Ibrahim berkata, kenyataannya di Mahkamah Sesyen Shah Alam bercanggah dengan kenyataan di Mahkamah Sesyen di sini kerana ia membabitkan pertuduhan dan individu yang berbeza.

"Kes di Shah Alam berkenaan kes penipuan membabitkan Gnanaraja manakala di Mahkamah Sesyen di sini kes rasuah membabitkan YB Lim Guan Eng," kata Ibrahim.

Mengikut pertuduhan pindaan pertama, Lim, 62, didakwa sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang menggunakan kedudukannya untuk menerima suapan wang berjumlah RM3.3 juta, dengan membantu syarikat milik Zarul Ahmad dilantik bagi melaksanakan Projek Pembinaan Jalan-Jalan Utama dan Terowong di Pulau Pinang bernilai RM6,341,383,702.

Guan Eng didakwa melakukan perbuatan itu antara Januari 2011 dan Ogos 2017 di Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang.

Bagi pertuduhan pindaan kedua, Guan Eng didakwa meminta suapan 10 peratus daripada keuntungan yang akan diperoleh daripada Zarul Ahmad sebagai upah, bagi membantu syarikat milik ahli perniagaan itu dilantik untuk projek sama.

Pemimpin DAP didakwa melakukan perbuatan itu berhampiran Hotel The Gardens, Lingkaran Syed Putra, Mid Valley City di sini antara 12.30 tengah malam dan 2 pagi pada Mac 2011.

Beliau juga berdepan dua pertuduhan menyebabkan dua lot tanah milik kerajaan negeri Pulau Pinang bernilai RM208.8 juta, dilupuskan kepada syarikat pemaju berkaitan projek terowong dasar laut di negeri itu yang didakwa dilakukan di Pejabat Tanah dan Galian Negeri Pulau Pinang, Komtar pada 17 Februari 2015 dan 22 Mac 2017.

Perbicaraan di hadapan Hakim Azura Alwi bersambung 23 Oktober ini.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 September 2023 @ 2:27 PM